Thursday, February 05, 2015

‘MOM cipta rekod’



KUALA LUMPUR - PERTAMA kali dalam sejarah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membuat keputusan untuk tidak meletakkan sebarang sasaran pingat buat kontinjen negara yang akan bersaing dalam Sukan SEA 2015 di Singapura Jun ini.

Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata, keputusan itu dibuat untuk tidak memberikan tekanan kepada atlet bertanding dalam usaha memastikan mereka mampu mencapai keputusan positif.

Malah Tunku Imran turut memberitahu keputusan tersebut bukan bermakna atlet yang turut serta tidak mempunyai misi mereka sendiri dalam temasya tersebut, sebaliknya beliau percaya persatuan sukan terlibat sudah tentu telah menetapkan sasaran tersendiri sebagai penanda aras mereka.
“Kami biarkan anda untuk membuat andaian sendiri berdasarkan kajian berhubung pingat yang mampu diraih oleh kontinjen negara dalam Sukan SEA kali ini.

“Ini juga adalah keputusan rasmi kami berhubung sasaran pingat temasya tersebut.
“Dalam masa sama saya juga ingin memberitahu bahawa kos penyertaan kali ini lebih rendah kerana atlet negara akan ke Singapura dengan menaiki bas,” katanya selepas mesyuarat pemilihan Sukan SEA 2015, di sini semalam.

Sementara itu, Chef de Mission (CDM) negara ke Sukan SEA 2015, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, beliau menghormati keputusan MOM tersebut dan tidak menganggapnya sebagai mengambil langkah selamat untuk tidak dilihat gagal.

Kata Mohamad Norza, sebagai CDM tumpuannya adalah untuk memastikan kontinjen negara berupaya meraih keputusan yang cemerlang di Singapura.

“Mungkin kita memerlukan satu langkah lain bagi meningkatkan motivasi atlet selain daripada meletakkan sasaran dan perkara ini kita akan bincangkan dengan Majlis Sukan Negara dan di peringkat Menteri.

“Bagi saya ini semua masih terlalu awal lagi dan apa yang diperkatakan oleh Tengku Imran itu adalah pendapat MOM,” kata Mohamad Norza.



- UTUSAN

No comments:

Post a Comment