Tuesday, February 10, 2015

Lewat Bela Kes Chong Wei Untuk Pastikan Kes Kukuh - Khairy

JOHOR BAHARU, 9 Feb (Bernama) -- Kelewatan mempersembahkan kes doping pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bertujuan memastikan kes yang dipersembahkan adalah kukuh, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah diingatkan supaya bersiap sedia dengan lengkap sebelum menghadiri perbicaraan dengan jawatankuasa sementara timbang tara BWF.

"Saya tidak mahu kita terburu-buru sebab ada beberapa perincian yang perlu kita telitikan. Kita cuma ada satu peluang sahaja," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan Piala Monsun Malaysia 2015 di Teluk Danga, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Chong Wei yang mendakwa BAM melewat-lewatkan pembelaan kes beliau kepada BWF.

"Saya tidak mahu kita pergi perbicaraan kes Chong Wei dengan kes separuh masak. Bagi saya, ini adalah kes yang amat penting," kata Khairy.

Beliau berkata kegagalan untuk membela Chong Wei dengan sebaiknya boleh mengakibatkan beliau digantung selama dua tahun dan kemudiannya bersara, sesuatu yang bukan sahaja memberi kesan kepada pemain negara itu tetapi juga kepada sukan badminton negara secara tidak langsung.

Baru-baru ni, BAM berkata perbicaraan kes doping jaguh badminton negara itu diadakan selewat-lewatnya bulan depan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment