Monday, February 09, 2015

Lahiri Raih Gelaran Pertama Terbuka Malaysia Maybank 2015


Juara Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank 2015 Pemain dari India, Anirban Lahiri mengangkat piala Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank di Kuala Lumpur Golf Country Club (KLGCC) di sini hari ini.
KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Pemain golf dari India Anirban Lahiri memenangi Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank (MMO) 2015 yang berakhir hari ini, dengan memintas pendahulu semalam, Bernd Wiesberger dari Austria untuk membawa pulang hadiah wang tunai US$500,000 (kira-kira RM1.78 juta).

Pada pusingan akhir hari ini yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf and Country Club, Lahiri mendahului pemain lain dengan melakukan enam birdie dan dua bogey, merekodkan empat bawah par 68 untuk mencatat keseluruhan 16 bawah par 272 pada kejohanan selama empat hari itu.

"Saya hanya mencuba memberi tumpuan bagi mendapatkan permulaan yang baik. Ada banyak peluang melakukan birdie pada pusingan awal dan beberapa kali lagi pada penghujung saingan.

"Ini kemenangan pertama saya dalam Jelajah Eropah, itulah yang menjadikannya lebih istimewa. Selain itu, kejayaan ini adalah kemenangan saya dalam kejohanan yang besar," katanya.

Dengan enam kemenangan pada Jelajah Asia dan gelaran pertama bagi kejohanan yang diluluskan bersama oleh Jelajah Eropah, kemungkinan besar melonjakkan Lahiri dalam kelompok 40 pemain terbaik dunia dan meletakkan beliau dalam kedudukan terbaik melayakkan diri ke Kejohanan Masters pada April ini.

"Menjadi impian saya beraksi pada Kejohanan Masters. Jika mendapat peluang tersebut, saya perlu membuat perancangan yang sebaik-baiknya," kata Lahiri.

Lahiri menerima trofi berprestij tersebut daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Weisberger yang mendahului kejohanan berkenaan semalam, sedikit kecewa apabila gagal mempertahankan kedudukannya itu, dalam saingan hari ini.

"Selepas berdepan masalah pada lubang kelima, saya tidak melakukan pukulan yang baik seperti dalam 15 pusingan akhir. Ia sukar untuk dikatakan dan amat malang kerana gagal mempamerkan permainan kemas hari ini," kata Weisberger yang menamatkan cabaran pada kejohanan tersebut dengan satu pukulan di belakang Lahiri.

Pemain dari Austria itu membawa pulang hadiah wang tunai US$333,330 (kira-kira RM1.184 juta) selaku naib juara.

Paul Waring dari England dan pemain Sepanyol Alejandro Canizares, berkongsi di tempat ketiga dengan 13 bawah par 275, dan menerima US$168,900 (kira-kira RM600,289).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment