Wednesday, February 18, 2015

KP MSN Temui Faizal Selesai Masalah - Khairy

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail akan diminta berjumpa pemain hoki negara Faizal Saari yang dilapor menghilangkan diri daripada skuad kebangsaan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata adalah penting untuk mendapatkan gambaran sebenar situasi melibatkan penyerang muda negara itu.

Khairy mengakui Faizal banyak menyumbang kepada kejayaan skuad hoki negara dan tidak mahu sebarang tindakan yang mungkin diambil nanti, menjejaskan masa depan pemain kelahiran Kelantan itu.

"Saya sendiri dalam dilema macam mana nak buat dengan atlet ini. Saya boleh jumpa beliau (Faizal) tetapi saya minta Ahmad Shapawi berjumpa dengannya terlebih dahulu. Kalau menteri jumpa beliau dahulu, ia seolah-olah membelakangkan persatuan berkenaan.

"Oleh kerana MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) gagal menyelesaikan masalah ini, saya akan minta Ahmad Shapawi jumpa Faizal, tanya apa masalah dia," kata Khairy kepada pemberita selepas merasmikan program Rakan Muda versi baharu, di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan Faizal dan adiknya, Mohd Fitri tidak kelihatan bersama skuad negara pada aksi persahabatan menentang Mesir di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, semalam.

Mereka juga dilaporkan gagal menyertai sesi latihan skuad kebangsaan selepas berakhirnya kempen Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Singapura bulan lepas, yang menyaksikan Malaysia muncul juara.

Dalam pada itu, Khairy mengulangi gesaannya supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertindak lebih tegas kepada penyokong yang masih berdegil membawa masuk barang larangan seperti suar ke dalam stadium.

Selain itu, beliau berkata persatuan bola sepak terlibat juga perlu dikenakan denda yang tinggi bagi menyedarkan penyokong mereka mengenai peraturan tersebut.

"Pencegahan di pintu masuk stadium untuk kita periksa semua penyokong adalah mustahil. Saya sendiri dah tengok perkara ini.

"Kalau FAM berani ambil tindakan dari segi denda, penyokong tidak dibenarkan masuk (ke stadium) dan sebagainya, barulah penyokong akan sedar bahawa pasukan mereka sendiri yang rugi," tegas Khairy.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment