Wednesday, February 04, 2015

Juara Bertahan Westwood Tekad Pertahan Gelaran Terbuka M'sia Maybank 2015

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Juara bertahan Lee Westwood tekad mengekalkan gelaran pada kejohanan golf Terbuka Malaysia Maybank (MMO) 2015 yang bermula Khamis hingga Ahad ini, di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC).

"Apabila sudah membiasakan diri dengan padang ini, anda tahu bagaimana untuk lebih santai. Anda juga mungkin boleh menjadi sedikit agresif apabila anda tahu lapangan tersebut dengan sangat baik. Ia suatu yang indah memenanginya tahun lepas.

"Saya bermain amat baik pada dua hari pertama dan mendahului dengan jurang yang besar. Ia sesuatu yang bagus menamatkan saingan itu sebelum ribut. Saya gembira dapat kembali ke sini.

"Saya baru ke sini sebelum Krismas untuk menyertai kejohanan Jelajah PGA, jadi saya berasa seperti saya benar-benar sudah mengenali padang golf ini dengan sangat baik," kata Westwood pada sidang media di KLGCC, di sini hari ini.

KLGCC akan menjadi venue MMO 2015 yang menawarkan hadiah lumayan berjumlah US$3 juta (kira-kira RM10.9 juta).

Sebanyak 156 pemain golf profesional dari Eropah dan Asia serta 22 pemain Malaysia sudah mengesahkan penyertaan pada kejohanan berkenaan.

Juara Terbuka Amerika Syarikat 2010 Graeme McDowell dan Kapten Piala Ryder Paul McGinley juga akan membuat penampilan, di samping bintang Piala Ryder Victor Dubuisson, pada kejohanan tersebut yang diluluskan oleh Jelajah Asia dan Eropah.

Cabaran pemain Asia pada kejohanan tersebut diketuai dua bekas juara berganda Terbuka Malaysia, Arjun Atwal dari India dan Thongchai Jaidee dari Thailand, yang kini di kedudukan ke-38 dalam Ranking Rasmi Golf Dunia, serta Liang Wen Chong dari China.

Pemain meningkat naik India, Rashid Khan, 24, akan mengetuai cabaran pasukan negara berkenaan di samping Anirban Lahiri dan Gaganjeet Bhullar.

Westwood, dari England, berkata sukan golf di Asia secara amnya sangat berkembang dan tahap kejohanan Jelajah Asia juga semakin bertambah baik.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment