Tuesday, February 10, 2015

Jangan terlalu seronok




JOHOR BAHRU – Kejayaan menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Istaf buat kali pertama dengan menewaskan Thailand adalah perkara yang dibanggakan, namun persembahan konsisten penting untuk kekal di kedudukan terbaik.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kemenangan tersebut adalah perkara yang disyukuri tetapi beliau mengingatkan bahawa ia adalah kejayaan dalam satu siri kejohanan sahaja.
“Kita mahu lihat kemenangan datang dengan konsisten, maksudnya bukan menang hanya sekali.
“Saya tidak mahu memberi komen yang dilihat tidak berapa positif namun kita jangan terbawa-bawa dengan satu kemenangan kerana Thailand sudah banyak kali menewaskan kita.

“Saya harap kita dapat ulangi kemenangan dalam kejohanan yang akan datang,” katanya dalam sidang akhbar sempena acara pembukaan Piala Monsun yang disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Country Garden Danga Bay, di sini semalam.

Malaysia menewaskan Thailand 2-0 dalam perlawanan akhir Pusingan 2 Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Istaf di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) kelmarin, selepas sembilan percubaan sejak kejohanan tersebut dimulakan pada 2011.

Anak-anak buah jurulatih, Abdul Talib Ahmad dibarisi kapten, Farhan Adam (pengumpan), Hanafiah Dollah (perejam) dan tekong, Syahir Rosdi menang mudah 21-7 dan 21-19 dalam masa 50 minit.
Tambah Khairy, beliau meletakkan cabaran kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk memenangi pingat emas dalam Sukan SEA 2017 yang akan diadakan di negara ini.

“Kalau dapat buat pada tahun ini di (Sukan SEA) Singapura, Alhamdulillah... Kalau tidak, kita letakkan matlamat yang realistik tetapi dengan kemenangan semalam adalah permulaan yang baik.
“Saya tidak sempat menontonnya namun maklumat yang saya terima mereka (pasukan kebangsaan) bermain dengan baik sekali dan saya harap ia dapat digunakan sebaiknya dan akan memberi satu tanda positif,” katanya lagi


UTUSAN

No comments:

Post a Comment