Thursday, February 12, 2015

ISN lebih berkuasa?




Kuala Lumpur: Institut Sukan Negara (ISN) dijangka diberikan peranan lebih besar dan berkuasa mempersiapkan atlet elit negara bagi menghadapi kejohanan atau temasya besar selepas ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dijangka mengumumkan penstrukturan semula ISN dan Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini selepas mendapat pandangan pelbagai pihak.
“Selepas kegagalan di Sukan Komanwel dan Asia tahun lalu, Khairy melantik Brian Miller dari Institut Sukan Australia (AIS). Miller sudah memberikan cadangannya kepada Khairy selain maklum balas dari ISN dan MSN.

“ISN akan diberikan peranan lebih besar menghadapi kejohanan besar selepas ini.
“Organisasi dan hal ehwal atlet, kejurulatihan dan atlet elit akan diletakkan di bawah ISN dengan harapan pendedahan lebih baik dapat diperoleh atlet menerusi aspek perubatan dan sains sukan,” menurut sumber semalam.

Tambahnya, MSN yang diketuai Datuk Ahmad Shapawi Ismail akan memberi tumpuan kepada pembangunan, kerjasama rapat bersama persatuan sukan serta pengurusan program.

Arena sukan negara pada tahun lalu dibayangi prestasi buruk apabila kontinjen negara gagal mencapai sasaran pada dua temasya sukan terbesar di Glasgow dan Incheon sehingga menyebabkan Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong digantikan dengan Ahmad Shapawi.

Lebih mengejutkan sukan negara turut dipalit isu doping tahun lalu membabitkan pemenang pingat emas Sukan Asia dalam acara wushu, Tai Cheau Xuen selain pemain nombor satu badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

Khairy dijangka mengadakan perjumpaan bersama pegawai MSN, ISN, jurulatih dan atlet pada pertemuan hari ini bagi menjelaskan perancangannya terhadap pembangunan sukan negara.

Malaysia akan menyertai Sukan SEA Singapura pada Jun, disusuli Sukan Olimpik Rio 2016, dengan harapan merealisasikan impian meraih emas pertama pada temasya terbesar dunia itu.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment