Wednesday, February 04, 2015

Impak negatif



Kuala Lumpur: Jika ditanya kepada Datuk Karim Ibrahim, apakah perkara paling membimbangkan beliau apabila merencanakan program mengembalikan semula reputasi olahraga negara yang dikatakan merudum kebelakangan ini.

Jawapan diberikan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) itu mudah kerana beliau kini bimbang pelbagai laman media sosial seperti Facebook (FB), Twitter dan sebagainya memberi impak kepada pembangunan mentaliti dan fokus semasa seseorang atlet.

“Saya bukan mengatakan kewujudan laman sosial tidak bagus, tetapi saya dapati ia membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

“Terlalu banyak hiburan bukan perkara bagus kepada pembentukan diri dan jiwa. Hiburan ada had dan atlet terdedah kepada elemen itu 24 jam sehari. Ini sudah pasti memberi kesan kurang baik dan aspek ini perlu ditangani dengan berkesan supaya seimbang agar mereka tidak hilang tumpuan serta tanggungjawab kepada negara,” katanya.

Karim berkata, KOM juga akan mengadakan lebih banyak seminar dan program pembangunan motivasi untuk atlet bagi menyedarkan mereka terhadap kesan buruk hiburan berlebihan.
“Jika anda tanya pendapat peribadi, saya berpendapat atlet kita boleh dibangunkan semula. Saya melihatnya sebagai satu masalah besar, tetapi boleh diatasi.

“Buat masa ini, saya akan curahkan segala pengalaman dan objektif masa depan KOM untuk mengembalikan apa yang pernah kita nikmati dalam olahraga. Ia tidak hilang cuma perlu dicari semula.

“Saya tidak bimbang kerana KOM mendapat jaminan serta kerjasama baik Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) yang baru, Ahmad Shapawi Ismail dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).”
Karim berkata, beliau juga akan mengumumkan beberapa perkembangan program pembangunan masa depan KOM.

“Saya lihat melahirkan atlet berkaliber sangat penting dalam jangka panjang menerusi program pembangunan atlet muda.
“Inisiatif baru program terbabit juga akan menyenaraikan skim ganjaran dan insentif yang akan diumumkan dalam masa terdekat. 

“Dari segi mewujudkan atlet kompetitif, saya letak sasaran kita kembali cemerlang pada Sukan SEA 2017 sebagaimana kita pernah memenangi 16 pingat emas pada temasya di Jakarta sebelum ini. 

“Kita akan bermula dengan nada positif dan mencari jalan mengembalikan sinar olahraga. Saya harapkan kerjasama semua pihak untuk mencapai matlamat itu,” katanya.



Oleh Esme Johari Wahab
 

No comments:

Post a Comment