Friday, February 27, 2015

Gelombang Panas Tidak Jejaskan LTtL 2015

PUTRAJAYA, 26 Feb (Bernama) -- Gelombang panas global atau fenomena Equinox, yang sedang melanda Malaysia, tidak akan menjejaskan kelancaran perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 minggu depan.

Pengarah Teknikal LTdL, Geoff Kronenburg berkata penganjur sedar tentang fenomena itu dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ketika acara itu dilangsungkan.

"Setiap tahun, ada pelumba yang tercicir daripada perlumbaan, kira-kira 10 peratus daripada mereka.

"Bagaimanapun, selalunya, mereka tercicir bukan kerana dehidrasi, tetapi akibat kecederaan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan penajaan di foyer Kementerian Belia dan Sukan di sini Khamis.

Seperti sebelumnya, LTdL edisi ke-20 dari 8 hingga 15 Mac ini mendapat penajaan daripada Darulkhusus Venture Sdn. Bhd. dan Universal Fitness and Leisure Sdn. Bhd., untuk menjadikan perlumbaan kelas 2 hors itu satu lagi kejayaan besar.

Darulkhusus Venture akan menaja air mineral jenama E'den, 96,000 botol atau 4,000 kartun daripadanya untuk diagihkan kepada pelumba, pegawai dan petugas sepanjang perlumbaan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Darulkhusus Venture, Badrulhisham Abd Rahman memberi jaminan bekalan air itu mencukupi untuk memenuhi keperluan.

"Pasukan kami akan mengekori pelumba dan kami juga akan memenuhi keperluan keluarga LTdL sepanjang acara itu," katanya.

Dianjurkan Human Voyage Sdn Bhd, perlumbaan LTdL edisi ke-20 ini akan meliputi jarak lebih 1,000km dalam lapan peringkat dan sekali lagi merupakan acara terbesar dalam kalendar Jelajah Asia UCI.

Sebanyak 22 pasukan telah mengesahkan penyertaan, terdiri daripada empat pasukan dunia, tujuh pasukan benua profesional, 10 pasukan benua dan satu pasukan kebangsaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment