Friday, February 13, 2015

Fungsi MSN Dan ISN Diperinci Dalam Proses Transformasi Sukan Negara


KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Penstrukturan semula Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) adalah langkah baharu untuk merencana proses transformasi sukan Malaysia.

Pendekatan baharu itu melibatkan pembangunan atlet berprestasi tinggi yang dibahagi kepada dua kumpulan yakni pengurusan program dikendalikan oleh MSN dan pengurusan prestasi oleh ISN.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata langkah ini diambil adalah untuk memastikan kedua-dua agensi itu tidak bekerja dalam silo dan hala tuju masing-masing sedangkan visi asasnya adalah sama.

Katanya, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh dipertanggungjawabkan untuk menyelaras penstrukturan itu agar segala lompong atau pertindihan yang mungkin berlaku dapat dielakkan.

Menurutnya di bawah penstrukturan semula itu, MSN akan kembali kepada fungsi asasnya sebagai penyelaras pembangunan atlet, menjalin hubungan, merangka kerjasama dengan persatuan sukan dan semua agensi lain demi kemaslahatan atlet-atlet negara.

Khairy berkata MSN juga bertanggungjawab memastikan ada kesinambungan di antara atlet-atlet yang bertanding di temasya Sukan Malaysia (Sukma) terus ke Sukan SEA, temasya yang menjadi medan pendedahan dan pengalaman di bawah struktur baharu ini.

"Kesinambungan yang dijana MSN amat penting bagi menyediakan satu kelompok atlet berkualiti untuk digilap ke peringkat tertinggi di mana setiap perincian akan membawa makna yang besar," katanya ketika membentangkan Model Sukan Baharu Malaysia di sini hari ini.

Khairy berkata ISN pula akan bertindak merangka, memperinci dan melaksanakan Program Podium, iaitu program penyediaan atlet terbaik dalam kalangan mereka yang terpilih merangkumi pemakanan, latihan, kemudahan, sains sukan dan kejurulatihan.

"Kita hanya akan ambil atlet terbaik untuk menyertai program ini. Tiada kompromi, tiada rayuan, tiada alasan kerana ganjarannya lumayan, tanggungjawabnya berat dan sokongan yang diberikan merupakan yang terbaik mampu dicana bumi bertuah ini," katanya.

Dalam merencana atlet berkualiti, Khairy berkata kualiti bidang kejurulatihan akan dipertingkat melibatkan pembangunan, modul sokongan dan lantikan serta pengurusan.

Justeru, ISN akan mengambil alih Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) daripada MSN yang mana modul latihan akan diperhebat, pembangunan kejurulatihan lebih spesifik serta komprehensif berpaksikan amalan sains sukan yang terbaru seiring kepentingan elemen berkenaan dalam sukan.

"Pengurusan jurulatih atau lantikan dan pemecatan bagi setiap fasa pembangunan atlet masih dalam bidang kuasa agensi masing-masing dengan syarat semua jurulatih tidak kira di bawah kendalian mana-mana pihak perlu mendapat pentauliahan akademi ini dan dikawal selia oleh ISN," katanya.

Di bawah penstrukturan semula itu juga, pengurusan acara yang sebelum ini dilakukan oleh MSN akan diserahkan kepada kementerian supaya MSN dapat memberi fokus kepada penyediaan atlet untuk bertanding di kejohanan tertentu, katanya.

Demi melaksanakan transformasi sukan negara itu, Khairy berkata sebuah pasukan petugas akan diwujudkan pada 1 Mac depan untuk merancang, memperinci serta membukukan sebuah pelan rangka tindakan dalam tempoh 100 hari.

Katanya, pelan itu juga akan merangka pembangunan atlet paralimpik yang telah banyak mengharumkan nama negara di persada dunia.

"Saya juga akan wujudkan satu jawatankuasa pemantau dinamakan 'Command and Control' bagi memastikan pelaksanaan dan penyelarasan pelan rangka tindakan ini ke arah aspirasi sukan negara," kata Khairy.

Jawatankuasa pemantau itu akan bermesyuarat setiap tiga bulan bagi mengawasi dengan rapat apa sahaja cacat cela, ruang penambahbaikan atau pertukaran taktik yang perlu dilaksanakan, katanya.

Sementara itu, Khairy dalam ucapannya, turut menyeru agar semua persatuan sukan untuk sama-sama memainkan peranan masing-masing demi melunaskan tanggungjawab kepada negara.

Katanya, kementerian juga akan meningkatkan insentif kewangan untuk persatuan sukan yang dilaporkan mempunyai tadbir urus cemerlang bertaraf antarabangsa serta konsisten bekerjasama dengan MSN untuk merangka pelan pembangunan atlet negara di peringkat negeri dan daerah.

"Kita akan pastikan MSN dan ISN sentiasa bersedia untuk membantu persatuan ke arah perancangan jangka pendek dan panjang demi kebaikan sukan dan atlet masing-masing," katanya.

Khairy turut menekankan bahawa setiap persatuan sukan perlu mempunyai pelan pembangunan strategik dan komprehensif untuk generasi atlet sekarang dan pada masa akan datang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment