Wednesday, February 18, 2015

Denda lebih keras: Khairy



Kuala Lumpur: Lebih drastik, itulah saranan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang berdepan isu pembakaran suar di stadium ketika perlawanan Liga Malaysia (Liga M).

Menurutnya, FAM tidak boleh fikir soal pencegahan lagi yang dirasakannya tidak berkesan terutamanya pemeriksaan di pintu stadium sebelum perlawanan bermula.

“Pencegahan melalui pemeriksaan di pintu stadium mustahil. FAM perlu berani mengambil tindakan bukan saja denda wang tunai, tetapi tidak membenarkan penyokong memasuki stadium,” katanya selepas Majlis Pelancaran Semula Rakan Muda semalam.

FAM sebelum ini pernah mengenakan denda beraksi tanpa penyokong (stadium kosong) terhadap pasukan Perak musim lalu, tetapi ia disebabkan insiden kekecohan ketika menentang Selangor dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Perak, Ipoh.

Bagaimanapun, Khairy memberi cadangan pembakaran suar juga perlu dikenakan denda sedemikian rupa yang mungkin memberi kesedaran kepada penyokong.

“Mereka akan merasakan tindakan itu merugikan pasukan sendiri apabila dikenakan denda penyokong tidak dibenarkan memasuki stadium.

“Apa saja benda yang tidak dibenarkan memang tidak boleh dibawa dalam stadium. Ia akan membahayakan penyokong dan mencemarkan imej,” katanya.

Kata Khairy, FAM tidak boleh pilih kasih dan perlu ada peraturan khusus mengenai pembakaran suar.
“Memang sukar menangani masalah suar dibawa masuk ke stadium. Pemeriksaan sebelum memasuki stadium untuk membanteras 100 peratus memang mustahil.

“Berapa ramai pun kita kerah anggota keselamatan, suar tetap akan berjaya dibawa masuk ke stadium. Negara lain pun sama, apatah lagi Malaysia. FAM perlu ada satu tindakan,” katanya.




Oleh Ferzalfie Fauzi- Arena, Harian Metro
 

No comments:

Post a Comment