Monday, February 09, 2015

Chia, Green Pemain Terbaik Malaysia Pada MMO 2015

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Pemain berpengalaman Danny Chia dan pemain amatur terbaik negara, Gavin Kyle Green muncul pemain Malaysia paling menyerlah pada kejohanan golf Terbuka Malaysia Maybank (MMO) 2015.

Kedua-dua pemain berkenaan menamatkan cabaran dengan berkongsi kedudukan ke-28 pada kejohanan menawarkan wang tunai US$3 juta (kira-kira RM10.9 juta) itu yang diadakan di Kuala Lumpur Golf and Country Club di Bukit Kiara, selepas mencatat pukulan empat bawah par 284 dalam saingan selama empat hari itu.

Pencapaian tersebut membolehkan Chia meraih US$28,950 (kira-kira RM102,511) manakala Green menerima trofi sebagai pemain amatur terbaik dalam kejohanan tersebut, namun tidak menerima hadiah wang tunai kerana masih berstatus pemain amatur.

Bagi Chia, 42, ia sedikit mengecewakan kerana pada saingan sebelum ini, beliau menampilkan aksi menyakinkan, apabila menamatkan cabaran dengan dua atas par 74.

"Saya berjaya melakukan pukulan kemas di sembilan lubang pertama yang sukar, sebenarnya saya membuat beberapa pukulan yang baik tetapi saya melakukan bogey (di sembilan lubang kedua)...apabila ada tiupan angin, ia agak mengelirukan di beberapa lubang kerana saya tidak tahu arah angin tersebut.

"Secara keseluruhan saya sangat gembira dengan permainan saya. Saya semakin hampir mendapatkan apa yang saya mahu. Mental dan pukulan bola yang kemas adalah keadaan terbaik saya pada kejohanan Terbuka Malaysia ini," katanya.

Tiga pukulan birdie di empat lubang pertama melonjakkan Chia untuk berkongsi di kedudukan kelapan dengan 9 bawah par, namun di lubang sembilan kedua, beliau mula melakukan kesilapan dengan dua bogey dengan par empat di lubang ke-14, menyebabkan beliau terlepas daripada kedudukan 20 teratas.

Pemain Malaysia lain ialah Sukree Othman yang berkongsi kedudukan di tempat ke-52 dan membawa pulang US$11,400 (kira-kira RM40,367.40) manakala Nicholas Fung dan R. Nachimuthu, masing-masing menamatkan saingan pada kedudukan ke-69 dan 72.

Fung menerima US$5,723.33 (kira-kira RM20,266.31) manakala Nachimuthu membawa pulang US$4,499.81 (kira-kira RM15,933.83).

KEPUTUSAN AKHIR (Semua Pemain Malaysia)

284 - Danny Chia 67-74-69-74, Gavin Kyle Green (AM) 74-68-73-69;

290 - Sukree Othman 73-71-70-76;

295 - Nicholas Fung 71-71-76-77;

297 - R. Nachimuthu 73-72-75-77.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment