Wednesday, February 18, 2015

Cai Lin lega masalah pusat akuatik selesai



Kuala Lumpur: Perenang senior negara, Khoo Cai Lin gembira apabila segala permasalahan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil sudah diselesaikan.

Bagaimanapun, pengubahsuaian tandas awam sedikit mengganggu keselesaan perenang negara yang berlatih di pusat itu.

Katanya, pengubahsuaian tandas awam menyebabkan orang ramai menggunakan tandas atlet sehingga mengundang beberapa masalah antaranya kotor dan paip air di bilik mandi ada kalanya tidak berfungsi.

Namun itu hanya masalah kecil dan tidak mengganggu tumpuan atlet renang negara menjalani latihan, bagaimanapun pemenang pingat emas 800m gaya bebas Sukan SEA Myanmar berharap masalah itu dapat diselesaikan segera.

“Saya cuma harap masalah itu dapat diselesaikan segera kerana biarpun kecil, agak mengganggu juga,” katanya yang yakin mampu melepasi syarat kelayakan ke Sukan SEA Singapura Jun ini.

Cai Lin antara perenang harapan negara untuk membawa pulang pingat dalam acara renang dan akan ke Terbuka Sydney sebelum menyertai Terbuka Malaysia dalam usaha untuk melayakkan diri.

Sebelum ini kesemua atlet renang dan terjun negara yang menggunakan Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil memohon agar pusat itu dinaikkan taraf serta dibaiki pulih.

Terdahulu pusat akuatik berdepan masalah sejak 2012 apabila masalah penyelenggaraan terutama aspek lampu banyak menyusahkan atlet yang mahu menjalani latihan di pusat itu terutama membabitkan latihan sesi pagi.

Bukan hanya lampu namun ketiadaan kemudahan mandian air panas, bilik menyimpan pakaian kurang selesa serta beberapa kemudahan lain, turut memberi kesan kepada mereka yang menjalani latihan di situ setiap hari.

Perkara itu turut mengundang rasa tidak puas hati jurulatih renang negara, Paul Birmingham.




Oleh Aida Adilah Mat- Arena, Harian Metro

Oleh Aida Adilah Mat


No comments:

Post a Comment