Thursday, February 05, 2015

BAM Jamin Bahan Bukti Proses Pendengaran Kes Chong Wei Siap Mac Ini

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memberi jaminan bahawa penyediaan bahan bukti bagi proses pendengaran kes Datuk Lee Chong Wei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan siap selewat-lewatnya Mac ini.

Norza berkata pihak terlibat iaitu Institut Sukan Negara (ISN) dan pihak peguam Mike Morgan masih mengumpul maklumat terbaik bagi persediaan proses pendengaran tersebut.

"BWF akan berikan tarikh kepada kita, apabila BAM bersedia...kita masih lagi dalam proses akhir untuk menyediakan laporan terbaik.

"Kita mahu masalah ini selesai secepat mungkin, kita tahu Chong Wei tidak akan menyertai Kejohanan All England dari 3 hingga 8 Mac ini dan kita juga tidak mahu beliau terlepas kejohanan besar sebelum penentuan ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada tahun depan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabat Majlis Olimpik Malaysia di sini pada Rabu.

Chong Wei kini digantung sementara waktu oleh BWF selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang 'dexamethasone' ketika beraksi dalam Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment