Tuesday, February 10, 2015

Azizul 'Pocketrocket Man' harap lakukan sesuatu di Paris


SEPANG: Selepas menguasai pentas Asia, fokus jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang kini terarah kepada Kejuaraan Berbasikal Dunia 2015 yang dijadualkan berlangsung di Paris, Perancis, minggu depan.

Malah pemenang pingat emas dalam acara Keirin pada Kejuaraan Berbasikal Asia di Korat, Thailand minggu lalu turut menyifatkan prestasinya ketika ini dalam keadaan terbaik.

"Berdasarkan prestasi saya di Korat, saya dapat rasakan ia adalah yang terbaik ketika ini. Persiapan juga boleh dianggap terbaik jadi saya berharap dapat melakukan sesuatu di Paris nanti.
"Selepas beberapa kali kecewa pada Kejuaraan Dunia, saya amat berharap dapat mengubat kekecewaan itu," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Mengulas kejayaannya di Korat, Azizul yang diberi jolokan Pocketrocket Man mengakui sedikit terkejut kerana cabaran yang hadir terutama dari pelumba China dan Jepun amat kuat.
Azizul hanya berada di Malaysia untuk seketika sebelum bertolak ke Paris, malam ini sebagai persiapan dan menyesuaikan dengan keadaan di sana.

"Keadaan di sana agak sejuk ketika ini jadi saya perlu sesuaikan diri terlebih dulu."
Dalam pada itu, Azizul turut memuji prestasi skuad junior berbasikal trek kebangsaan di Korat, dan ia adalah petanda yang baik namun kebanyakan mereka perlu diberi lebih pendedahan.

"Kita ada pelapis yang agak kuat. Jika bersandarkan prestasi, mereka lebih baik namun mereka kurang pengalaman berbanding Korea Selatan, Jepun dan Taiwan.
"Kita ada kekuatan namun kalah daripada sudut taktikal," katanya.

Selain Azizul, dua lagi pelumba negara, Josiah Ng dan Fatehah Mustapha akan turut beraksi di Paris yang dijadual bermula 18 hingga 22 Februari depan.



Oleh Khairil S Iswan - Berita Harian

No comments:

Post a Comment