Wednesday, January 21, 2015

Zaiton Pesuruhjaya Sukan pertama wanita




Kuala Lumpur: Datuk Zaiton Othman mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan pertama wanita di negara ini berkuat kuasa 1 Februari ini.

Bekas atlet heptatlon negara itu berkata, beliau akan cuba menggalas tugas itu dengan sebaik mungkin selain menganggap perlantikan itu sebagai satu cabaran cukup besar untuknya.
“Saya rasa sangat terharu dan berbesar hati apabila diberi kepercayaan ini. Saya percaya tiada kerja yang tidak boleh dilaksanakan dengan baik.

“Jika ada keikhlasan dan sabar demi untuk sukan negara, satu-satu kerja itu akan jadi lebih mudah.
“Sebagai bekas atlet, saya tahu masalah dalam persatuan dan sebagainya. Saya akan bersama-sama membantu persatuan dan juga atlet,” katanya semalam.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika mengumumkan pelantikan itu berkata, Zaiton yang juga Pengarah Bahagian Organisasi dan Hal Ehwal Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), menggantikan Ahmad Shapawi Ismail yang dilantik sebagai Ketua Pengarah MSN pada 19 Disember lepas.

Ahmad Shapawi berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Sukan mulai Jun 2013 hingga Disember 2014 sebelum menyandang jawatan Ketua Pengarah MSN menggantikan Datuk Seri Zolkples Embong yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sukan SEA 2017 yang bakal dihoskan Malaysia.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Zaiton dan berharap beliau dapat menggalas tanggungjawab baru ini dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi,” kata Khairy.
Zaiton, 55, dari Kepala Batas, Pulau Pinang adalah atlet heptathlon dan larian pecut 400m selain pemegang rekod kebangsaan heptathlon Sukan SEA Manila 1981.

Beliau menerima anugerah Olahragawati Kebangsaan pada 1982 dan memenangi tiga pingat emas dan mencipta rekod terbaik Asia dalam acara lari berganti-ganti 4x400m.

Zaiton adalah lulusan ijazah sarjana muda dalam Pendidikan Jasmani dari Universiti Pertanian Malaysia dan ijazah sarjana dalam Applied Sports Psychology dari San Diego State University, California.

Beliau memulakan perkhidmatannya di MSN sebagai pegawai sukan pada September 1989.
Zaiton juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Psikologi Sukan di Institut Sukan Negara (ISN) dari 1992 hingga 2000 sebelum kembali ke MSN.


 Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment