Monday, January 26, 2015

Usah tuding jari



Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) tidak melihat kegagalan melahirkan lebih ramai pelumba berbakat untuk diketengahkan di pentas antarabangsa salah badan itu semata-mata.
Ketua Pengarah Ahmad Shapawi Ismail (gambar) menegaskan, kemampuan ketua jurulatih negara John Beasley melahirkan lebih ramai pelumba seperti Azizulhasni Awang turut bergantung kepada usaha persatuan peringkat negeri.

“Kejayaan Beasley banyak bergantung kepada usaha mempersiapkan pelumba di peringkat negeri dan ini tanggungjawab bersama ahli majlis Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang selama ini menerajui badan sukan berbasikal negeri.

“Mungkin lebih baik anda melihat semula sama ada sudah memainkan peranan itu atau sebaliknya. Peranan MSN menyediakan platform (menerusi program pelapis) dengan restu PKBM dan bantuan jurulatih yang dilahirkan badan induk berbasikal itu termasuk Rosman Alwi yang pernah dilantik sebagai jurulatih pelapis MSN dan negeri.

“Secara tidak langsung tanggungjawab anda adalah membantu negeri menggilap bakat pelumba negeri sebelum dinilai Beasley untuk diserapkan dalam program bertaraf tinggi di Melbourne,” kata Shapawi.

Beliau berkata demikian selepas bekas pelumba negara, Rosman menerusi laporan Arena Metro semalam, menyifatkan MSN bertanggungjawab atas kegagalan melahirkan lebih ramai pelumba seperti Azizulhasni ketika Beasley sudah membuktikan kewibawaannya sebagai jurulatih.

Menjelaskan lebih lanjut, Shapawi berkata, dalam program latihan pasti ada pelumba yang berjaya menyesuaikan diri seperti Azizulhasni dan Fatehah Mustapa, namun ada juga yang menghadapi kesukaran dan gagal seperti Mohd Fattah Amri Zaid dan Ummi Hamimah Mohamad.

“Ini tidak bermakna program itu gagal dan peranan anda adalah mencari dan memperbaiki selain terus memberi sokongan supaya pelumba baru lebih mudah menyesuaikan diri dan meningkatkan lagi keberkesanan program latihan persiapan.

“MSN menghargai komen dan kritikan pedas dilemparkan terhadap Beasley dan program berbasikal diuruskan MSN dianggap gagal oleh mereka yang pakar dalam sukan ini.

“MSN bersikap terbuka dan akan terus berusaha mencari pendekatan terbaik dan kritikan diberikan biarlah disusuli dengan cadangan membina yang dapat membantu usaha bersama. MSN akan menganjurkan sesi percambahan fikiran dan pandangan seperti ini sememangnya dinantikan,” jelasnya.

Arena Metro beberapa hari lalu melaporkan wujud perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli Majlis PKBM terhadap kewibawaan Beasley yang sudah bersama pelumba negara sejak 2006.




azlanmz@hmetro.com.my
 

No comments:

Post a Comment