Friday, January 23, 2015

‘Tunggu Khairy’



Kuala Lumpur: Isu larian Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) yang dijadual berlangsung pada Mei membawa campur tangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Semalam, Naib Presiden MOM Datuk Danyal Balagopal Abdullah memenuhi permintaan Khairy untuk memberi penjelasan lebih lanjut berhubung kontroversi penggunaan nama MIM serta persengketaan membabitkan MOM serta Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Masih belum ada jalan penyelesaian jelas Danyal dan Khairy memerlukan masa untuk mengemukakan cadangan menyelesaikan masalah penganjuran larian itu.

“Kami sudah beri segala alasan kepada Menteri serta KOM. Kena tunggulah kerana menteri memerlukan sedikit masa untuk mengemukakan cadangannya,” katanya.

Ditanya adakah perbincangan semalam lebih terarah menukar nama larian itu kepada satu nama lain, Danyal tidak menolaknya.

“Terpulang kepada menteri. Anda dengarlah sendiri daripadanya nanti.

“Sebab saya perlu bincang dengan Tan Sri (Mohamad Noor Abdul Rahim) juga kerana beliau adalah pengerusi larian ini.

“Kini beliau berada di luar negara. Bila balik nanti beliau akan membuat keputusan muktamad,” katanya.

Danyal sekali lagi menegaskan, selaku anggota Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan KOM, pihaknya sudah meneliti setiap sudut termasuk perlembagaan Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF), KOM, MOM serta Akta Sukan bahawa tiada halangan untuk menggunakan perkataan Maraton Antarabangsa Malaysia.

Beliau juga menafikan dakwaan menyatakan Presiden MOM Tunku Imran Tuanku Ja’afar tidak dimaklumkan berhubung perkembangan isu itu.

“Beliau baru pulang daripada bercuti, tetapi segala maklumat sudah dihantar terus kepada Presiden. Mungkin beliau belum baca lagi, tapi sudah dimaklumkan,” katanya
Khairy menerusi laporan Arena Metro semalam menasihatkan jawatankuasa berkenaan supaya kembali dengan keputusan mengubah nama larian itu kepada nama lain.

Jelasnya, penggunaan nama larian itu sememangnya tidak boleh digunakan MOM kerana perlu mendapat pengiktirafan KOM.

Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim sebelum ini menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya MOM terus menggunakan nama asal larian itu tanpa mendapatkan pengiktirafan pihaknya.



Oleh Saiful Affendy Sapran - Arena, Harian Metro

 



Oleh Saiful Affendy Sapran

saifulaffendy@hmetro.com.my
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/25704#sthash.uMtGvw6D.dpuf


No comments:

Post a Comment