Thursday, January 29, 2015

TSG Latih Di Chiang Rai Untuk Hadapi LTdL 2015

KUALA TERENGGANU, 28 Jan (Bernama) -- Pasukan profesional, Terengganu Cycling Team (TSG), akan melakukan latihan di kawasan pergunungan Chiang Rai di utara Thailand, bulan depan bagi menghadapi jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 pada Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Farhan Abdul Wahab berkata skuad kendalian jurulatih dari Perancis, Sebastien Duclos, akan menjalani latihan selama tiga minggu di negara jiran bermula 10 Feb ini.

Katanya pihaknya akan menghantar tujuh pelumba untuk mengikuti latihan itu iaitu Muhamad Adiq Hussainie Othman, Zamri Saleh, Mohd Saiful Anuar Aziz, Mohd Arrif Saleh, Anuar Manan, Mohd Shahrul Mat Amin dan Goh Choon Huat.

Jelajah LTdL edisi ke-20, melibatkan lapan peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan 1,109.9km, akan berlangsung dari 8 hingga 15 Mac ini.

Dalam perkembangan lain, Farhan memberitahu Bernama hari ini bahawa pasukan itu mendapat suntikan semangat bagi menghadapi musim baharu 2015 apabila menerima tajaan bernilai lebih RM2 juta daripada sembilan syarikat tempatan.

Menurutnya penajaan tersebut kebanyakkannya dalam bentuk barangan seperti basikal dan peralatan gantian.

Beliau juga berkata majlis pelancaran jersi pasukan dan sesi memperkenalkan pelumba TSG yang dijadual diadakan di Dataran Permata, Seberang Takir, Kuala Nerus, esok ditunda atas sebab-sebab tertentu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment