Tuesday, January 20, 2015

Tindakan FAM tak adil: Tunku Ismail



Johor Bahru: Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berat sebelah dalam membuat keputusan berkaitan isu bekas pemain Harimau Muda A, Gary Steven Robbat.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) itu berkata, pihaknya kecewa selepas FAM hanya mengenakan denda kepada persatuan berkenaan tanpa mengambil tindakan sama terhadap Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang terlebih dulu menandatangani kontrak bersama pemain berusia 23 tahun itu.

Menurutnya, sekiranya PBNJ didapati bersalah menandatangani kontrak bersama Gary sepatutnya PBNP juga berdepan hukuman kerana mereka turut melakukan tindakan sama.
“Kenapa PBNJ saja didenda RM100,000? Itu satu jumlah yang besar sedangkan PBNP tidak dikenakan sebarang tindakan.

“PBNP tandatangan kontrak lebih awal dengan Gary berbanding PBNJ, sebaliknya persatuan itu hanya diberikan amaran keras bukan denda seperti kami,” katanya yang mengadakan pertemuan khas dengan wakil media, semalam.

Tunku Ismail juga mempersoal tindakan penyerang Pahang, Fauzi Roslan yang membuat pusingan U untuk menyertai skuad Tok Gajah selepas menyatakan persetujuan awal dengan menandatangani Borang 03 dikeluarkan FAM bagi menyertai FELDA United.

“Apa tindakan yang dibuat FAM terhadap pemain itu? Adakah kerana Fauzi pemain Pahang, dia terlepas daripada sebarang tindakan?

“Sebelum ini saya berdiam diri daripada membuat kenyataan mengenai keputusan Jawatankuasa Status FAM bukan kerana akur, tapi kerana kecewa dengan bentuk hukuman badan induk bola sepak negara.

“Saya lihat ada tindakan berat sebelah dalam soal ini yang boleh menghancurkan persatuan bola sepak negeri dan pemain itu sendiri,” katanya.

Jumaat lalu, Jawatankuasa Status FAM yang dipengerusikan Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan Gary tidak dibenarkan beraksi dalam mana-mana kejohanan selama tiga bulan berdasarkan kesalahan mengikut Artikel 17, Status dan Perpindahan Pemain kerana menanda tangani kontrak dengan dua pasukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Pahang.

Selain itu, PBNJ turut didenda RM100,000 kerana menandatangani kontrak bersama Gary ketika pemain itu masih menjadi pemain Harimau Muda.

Tunku Ismail turut bimbang isu Gary akan berlanjutan berikutan ada pasukan lain tetap menuntut khidmat pemain terbabit.





Oleh Isma Ismail- Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment