Wednesday, January 07, 2015

Tindakan BAM tidak konsisten - Utusan




KUALA LUMPUR - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kelmarin menyatakan pendiriannya bahawa kontrak jurulatih kebangsaan tidak akan disambung selagi Pengarah Teknikal yang baharu, Morten Frost Hansen belum tiba.

Namun dalam diam-diam badan induk badminton kebangsaan itu telah melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan tanpa menunggu kehadiran Frost, situasi yang membuatkan jurulatih kebangsaan bertambah keliru.

Mengapa ada sesetengah keputusan penting boleh dilakukan oleh BAM pada masa ini juga, sedangkan isu besar seperti kontrak perlu menunggu kehadiran Frost, yang hanya dijadual melapor diri pada 1 Mac ini.

Dalam pertemuan bersama jurulatih kelmarin, BAM melantik jurulatih beregu campuran, Jeremy Gan menjadi ketua jurulatih beregu yang baharu, sedangkan Jeremy juga sudah tamat kontrak sejak Disember lalu.

Jurulatih baharu dari China, He Guoquan, yang hingga kini belum kelihatan kelibatnya, telah dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan yang baharu, menggantikan Rashid Sidek.

Jeremy ketika ditemui mengesahkan pelantikannya, tetapi menyatakan rasa terkejut kerana diberi tanggungjawab mengetuai keseluruhan bahagian beregu. Namun dia berterima kasih kepada pengurusan BAM kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menggalas tugas berat tersebut.
Bagaimanapun katanya, dia hanya memikul tugas itu untuk dua kejohanan utama iaitu Piala Sudirman di Dogguan, China pada 10-17 Mei dan Sukan SEA Singapura, 5-16 Jun.

“Keputusan ini dibuat pihak pengurusan dan saya diberi tanggungjawab selaku ketua jurulatih beregu untuk sementara bagi projek Sukan SEA dan Piala Sudirman. Pemilihan pemain untuk kedua-dua temasya ini akan ditentukan oleh saya.

“Saya baru dilantik dan masih belum begitu jelas dengan skop kerja, jadi saya kena tengok balik sama ada saya akan tentukan atau tidak pemilihan pemain ke kejohanan-kejohanan lain yang akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan ini,” katanya.

Keputusan menstruktur semula jawatan barisan jurulatih itu nyata bercanggah dengan kenyataan Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang sebelum ini menegaskan, segala keputusan berkaitan pemilihan jurulatih akan diserah sepenuhnya kepada Frost.

Tengku Mahaleel dalam sidang akhbar kelmarin turut berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Frost bagi menentukan siapa paling layak mengetuai sesuatu bahagian berdasarkan kepada laporan prestasi yang dikemukakan.

Selain Jeremy, Rashid, Tey Seu Bock, Rosman Razak, Pang Cheh Chang dan Wong Tat Meng antara jurulatih yang belum diperbaharui kontraknya.




NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

No comments:

Post a Comment