Tuesday, January 27, 2015

Teong Kim 'Kunci Mulut' Isu PPBN


KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Pengarah Projek Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim memilih untuk mengunci mulut dan tidak memperbesarkan isu penarikan diri jurulatih serta program PPBN yang dikatakan tidak membuahkan hasil.

Beliau bagaimanapun mengesahkan hanya dua jurulatih yang menarik diri daripada program tersebut berbanding enam jurulatih seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Isnin.

Bekas jurulatih pembangunan kelab liga Jerman, Bayern Munich itu berkata beliau menghormati keputusan yang dibuat oleh kedua-dua jurulatih terbabit yang tidak disebut nama mereka.

"Itu keputusan mereka dan saya mesti menghormatinya," katanya kepada pemberita selepas perasmian seminar PPBN oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di Seri Kembangan dekat sini, Isnin.

Teong Kim berkata pelaksanaan PPBN tidak terjejas ekoran penarikan diri jurulatih terbabit kerana pihaknya mempunyai ramai jurulatih yang masih muda dan mempunyai keinginan serta semangat tinggi dalam pembangunan sukan bola sepak negara.

"Mereka juga mesti mempunyai nilai sosial kerana kita bekerja dengan kanak-kanak.

"Seperti juga ibu bapa, kita (jurulatih) perlu mendidik kanak-kanak dengan cara yang betul sebab mereka ini bakal menjadi seseorang pada masa depan," katanya sambil menjelaskan bahawa prinsip itu adalah sebahagian yang terkandung dalam PPBN.

Menurut laporan akhbar itu, enam jurulatih PPBN meletak jawatan yang menampakkan bahawa PPBN tidak berjalan lancar dan dilanda beberapa masalah yang merencatkan pembangunan bola sepak negara.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment