Friday, January 09, 2015

Tanya tuan punya badan sendiri’




KUALA LUMPUR - Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh meminta media mendapatkan penjelasan daripa­da Hendrawan sendiri selepas ju­rulatih kelahiran Indonesia itu di­ka­takan menolak tawaran untuk menggalas tugas ketua jurulatih perseorangan negara.

Menurut Kenny, beliau enggan mengulas mengenai laporan bahawa tiada jurulatih ‘sudi’ mengisi kerusi panas ketua jurulatih yang ditinggalkan oleh Rashid Sidek selepas Hendrawan dan He Guoquan menolak tawaran BAM.

“Bila pula Hendrawan tolak jawatan tersebut (ketua jurulatih)? Apa kata kamu (pemberita) dapatkan kenya­taan sendiri daripada dia (Hendrawan) dan ke­mudian hubungi saya semula.
“Bagaimanapun saya mahu tahu da­ripada mana kamu mendapat berita ini.

“Sukar untuk saya ulas me­nge­nainya. Saya berada di bahagian pentadbiran, jadi segala isu yang melibatkan kedudukan jurulatih adalah di luar pengetahuan saya dan tidak wajar untuk saya membuat sebarang kenyataan.

“Lagi satu saya nak tanya dari mana awak tahu yang He Gouquan ditawarkan jawatan tersebut? Ini semua cerita tidak benar,” kata Kenny kepada Utusan Malaysia.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan keputusan BAM melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan memakan diri apabila tiada mana-mana jurulatih ‘sudi’ menggalas tanggungjawab ke­tua jurulatih perse­orangan negara yang sebelum ini disandang Rashid.

Jawatan tersebut tidak mempunyai pengganti apabila BAM mengadakan per­te­muan dengan barisan jurulatih kebangsaan pada Isnin lalu sebelum membuat keputusan melantik Guoquan.
Bagaimanapun jurulatih baharu dari China itu menolak jawatan tersebut dengan alasan dia sebelum ini diarah untuk melatih pemain pelapis dan bukan pemain elit.

Kemudian BAM menawarkan kerusi panas itu kepada bekas juara dunia Hendrawan namun jurulatih kelahiran Indonesia itu turut menolak tawaran berkenaan.
Sementara itu, Hendrawan ketika dihubungi di Bangkok tidak menafikan laporan tersebut, namun dalam masa yang sama tidak mengiyakan.

Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya me­ngapa enggan menerima tawaran tersebut, sebaliknya meminta media agar mendapatkan penjelasan daripada BAM sendiri.
“Saya tidak mahu komen ba­nyak sebab saya sudah serahkan semuanya kepada BAM.

“Saya ha­nya mahu memberi tumpuan kepada tugas sebagai seorang jurulatih,” katanya yang berada di Bangkok untuk membawa pemainnya beraksi dalam Cabaran Antarabangsa Thailand. 





FADHILUL IZMEL ISHAK - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment