Tuesday, January 20, 2015

Tak jadi tukar!



Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membuat pusingan U apabila mengambil keputusan mengekalkan nama larian Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM), genap seminggu selepas memutuskan mengubah nama larian itu dalam usaha menyelesaikan persengketaan dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Naib Presiden MOM Datuk Danyal Balagopal Abdullah berkata, perkara itu dipersetujui sebulat suara pada mesyuarat Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan MOM semalam.
Tegas Danyal, selepas kajian terperinci dilakukan, pihaknya mendapati tidak timbul sebarang masalah atau isu untuk menggunakan nama asal walaupun tanpa pembabitan KOM.
“Kami sudah menjalankan kajian terperinci dari setiap sudut. Hasilnya kami mendapati tiada keraguan untuk menggunakan nama asal.

“Pendapat pada mesyuarat ini sudah dimaklumkan kepada Presiden (Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar) iaitu tiada sebarang keraguan untuk menghalang menggunakan nama MIM.
“Maksudnya segala perancangan sebelum ini, tetap akan diteruskan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Berhubung pengumuman Tunku Imran yang mahu menukar nama larian itu pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, Selasa lalu, Danyal berkata, ketika itu anggota Lembaga Eksekutif tidak mendapat penjelasan terperinci mengenai isu itu.
“Hari ini (semalam), kami sudah menjalankan kajian termasuk daripada sudut undang-undang. Jelaslah nama larian asal boleh digunakan,” katanya.

Justeru itu, Danyal berharap KOM dapat menerima secara terbuka keputusan itu kerana MIM adalah larian yang bertujuan baik, iaitu mencari dana bagi membantu persatuan sukan kebangsaan termasuk KOM.

Isu penganjuran MIM mula tercetus selepas Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim mendakwa penganjuran maraton itu tidak sah kerana tidak mendapat pengiktirafan KOM.

Danyal yang membalas kenyataan Karim itu bagaimanapun menegaskan, tiada keperluan untuk mereka mendapatkan pengiktirafan daripada KOM sebelum Tunku Imran menyelesaikan masalah itu dengan menukar nama kepada nama lain.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang (POAPP) V Govindasamy berkata, pihaknya sedia mengiktiraf larian itu sekiranya ia ditukar kepada nama lain.
Bagaimanapun, jelas Govindasamy, soal sama ada peraturan lain perlu ditukar atau kekal, terpulang kepada MOM selaku penganjur larian itu.




Oleh Saiful Affendy Sapran- Arena, Harian Metro
 

No comments:

Post a Comment