Tuesday, January 20, 2015

Skuad negara kenduri gol



Tiada belas kasihan. Itulah yang dipamerkan skuad hoki negara apabila membelasah Oman 7-0 pada perlawanan kedua pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Sengkang, semalam.

Turun selaku pilihan utama kejohanan, skuad bimbingan Tai Beng Hai yang sudah mencatat kemenangan 5-1 ke atas Ukraine pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan A, mempamerkan aksi garang seawal minit ketujuh menerusi jaringan ketua pasukan yang juga pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim.

Penyerang sensasi negara Faizal Saari yang kali terakhir beraksi di Piala Dunia di The Hague, Belanda, Jun lalu menyumbang gol kedua 10 minit kemudian hasil pukulan sudut penalti.
Marhan Jalil meledak dua gol pada minit ke-22 dan 27 untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Faizal tenang menyempurnakan penalti strok pada minit ke-38 sebelum Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin menambah derita Oman dengan gol keenam negara hasil pukulan sudut penalti minit ke-44.
Tengku Ahmad Tajuddin menjadikan kedudukan 7-0 hasil gol padang dua minit kemudian.

“Objektif keseluruhan adalah melangkah ke separuh akhir dan kemudian ke final. Inilah yang kami cuba usahakan ketika ini.

“Tidak ada makna jika dapat menjaringkan 15 atau 20 gol, tapi pada akhirnya tidak dapat mengakhiri kejohanan ini dengan keputusan yang bagus,” kata ketua jurulatih sementara Tai Beng Hai.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment