Thursday, January 22, 2015

Sistem Harimau Muda Sudah Tidak Relevan - Khairy


PUTRAJAYA, 21 Jan (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyifatkan sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membubarkan sistem pasukan Harimau Muda.

Khairy berkata persatuan bola sepak negeri secara hakikinya perlu diberi tanggungjawab dalam menggilap potensi pemain dan pembangunan bola sepak di negeri masing-masing.

Beliau yang pernah memegang jawatan Timbalan Presiden FAM itu berkata sistem Harimau Muda itu tidak sesuai diteruskan lagi untuk perancangan jangka masa panjang.

"Apabila saya mulakan Harimau Muda semasa saya menjadi Timbalan Presiden FAM, hasrat saya ketika itu adalah untuk membangunkan satu pasukan junior tetapi bukan untuk perancangan jangka masa panjang," katanya.

Beliau berkata cara yang terbaik adalah menghantar pemain-pemain muda ini bermain dengan negeri masing-masing dan biarkan persatuan negeri bertanggungjawab dalam menggilap pemain mereka.

"Liga Malaysia semakin baik. Kalau kita lihat ramai pihak swasta mahu menaja pasukan negeri, walaupun ramai pihak mempertikaikan tentang kualiti pemain saya rasa kualiti pemain kita semakin baik," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pengumuman laluan perlumbaan jelajah berbasikal terunggul Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015.

Khairy berkata semua pihak perlu memberikan kepercayaan kepada persatuan bola sepak negeri untuk membangunkan pemain-pemain mereka sebelum dipilih menyertai skuad kebangsaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment