Wednesday, January 14, 2015

Sengketa tamat!



Kuala Lumpur: Tukar nama. Itu keputusan muktamad Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhubung kontroversi penganjuran Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) dengan menukar nama larian itu kepada nama lain dalam usaha menyelesaikan persengketaan dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Masih belum memutuskan nama baru bagi larian itu, Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar bagaimanapun berkata, ia tidak akan menggunakan perkataan ‘maraton’ serta ‘antarabangsa’ yang diakui menjadi ‘hak milik’ KOM.

Umpama mengaku kalah, Tunku Imran berkata, itulah jalan penyelesaian terbaik untuk menamatkan persengketaan dengan KOM yang sebelum ini menegaskan tidak akan mengiktiraf maraton itu.
“Apa yang kami putuskan ialah, kami akan menukar nama larian ini dengan tidak menggunakan perkataan ‘maraton’ tapi ‘larian’.

“Contohnya Larian Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Oleh sebab acara ini berlangsung di Pulau Pinang, kami akan bekerjasama dengan Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang (POAPP) dan menyerahkan sepenuhnya kepada mereka selaku ahli gabungan KOM untuk mendapatkan pengiktirafan yang diperlukan.

“Kami tidak mahu terbabit dengan sebarang konflik bersama ahli gabungan MOM terutama KOM.
“Tujuan utama larian ini adalah untuk meraikan ulang tahun ke-60 tahun penubuhan MOM dan keduanya, membantu persatuan sukan kebangsaan meraih dana.
“Sepatutnya ia berlangsung dengan meriah tanpa sebarang masalah,” katanya selepas mempengerusi Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM semalam.

Isu penganjuran larian itu mula tercetus selepas Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim mendakwa penganjurannya tidak sah kerana tidak mendapat pengiktirafan KOM.
Begitupun Naib Presiden MOM Datuk Danyal Balagopal Abdullah menegaskan pihaknya tetap akan menganjurkan larian itu dan enggan mengadakan perbincangan dengan KOM.

Danyal mendakwa, MOM perlu mengeluarkan perbelanjaan AS$3 juta (RM10.7 juta) bagi membolehkan larian itu mendapat label bertaraf gangsa daripada IAAF dalam usaha menarik lebih ramai penyertaan dan dijadikan acara tahunan.

Akibat kos yang begitu tinggi, KOM ketika itu mencadangkan kepada MOM supaya terus berurusan dengan POAPP serta kerajaan negeri yang akan mengiktiraf larian itu.




Oleh Saiful Affendy Sapran

saifulaffendy@hmetro.com.my 

No comments:

Post a Comment