Thursday, January 29, 2015

Sembilan Negara Sertai Siri Super Istaf 2014/2015 Di Melaka

MELAKA, 28 Jan (Bernama) -- Sembilan negara akan menyertai pusingan kedua Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) musim 2014-2015 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini, bermula 5 Feb ini.

Exco Kesihatan dan Pembangunan Sukan Negeri, Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata selain Malaysia, negara lain ialah Vietnam, Indonesia, Myanmar, Korea Selatan, Jepun, Singapura, China dan Thailand.

Kejohanan empat hari itu terbahagi kepada dua kategori iaitu lelaki dan wanita manakala setiap kategori dibahagikan kepada dua kumpulan, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata dalam kategori lelaki, juara pusingan pertama, Thailand diundi dalam Kumpulan A bersama-sama dengan Jepun, Korea Selatan dan Myanmar manakala Malaysia berada dalam Kumpulan B dengan Singapura, China dan Indonesia.

Dalam kategori wanita pula, Malaysia, Korea Selatan dan Vietnam diundi dalam Kumpulan A manakala Kumpulan B menyaksikan kehadiran juara pusingan pertama, Thailand, Jepun dan Myanmar.

Pada pusingan pertama di Nay Pyi Taw, Myanmar, bulan lepas, Thailand menjuarai kedua-dua kategori dengan skuad lelaki negara itu menewaskan Malaysia 3-0 dalam final manakala skuad wanitanya mengalahkan Vietnam 2-0.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment