Wednesday, January 14, 2015

Selesaikan minggu ini



KUALA LUMPUR - “Bagi saya, ini platform terbaik untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mencari jalan penyelesaian. Kalau kami dapat selesaikannya awal adalah lebih baik”.

Itu pandangan Datuk Mohammad Norza Zakaria, yang berharap mesyuarat majlis BAM yang akan diadakan di Kuching, Sabtu ini sempena kejohanan Malaysia Masters dapat dimanfaatkan untuk menyelesaikan isu kontrak jurulatih tempatan. 

Menurut Timbalan Presiden BAM itu, biarpun rancangan asal mereka adalah me­nunggu sehingga Morten Frost Hansen melapor diri sebagai Pengarah Teknikal pada 1 Mac untuk menyelesaikan segala isu tertangguh, namun tiada salahnya jika perkara itu diselesaikan awal apabila berpeluang.
Bukan saja Frost dan majlis ter­tinggi BAM akan menghadiri kejohanan Grand Prix Emas itu, malah semua jurulatih kebangsaan juga kini berada di Kuching.

“Pihak pengurusan BAM akan bertemunya (Morten) sama ada sebelum atau selepas mesyuarat majlis diadakan (Jumaat atau Sabtu ini).
“Pada saya, memandangkan BAM ketika ini dilanda pelbagai isu, sebaiknya mesyuarat itu nanti dimanfaatkan untuk mencapai kata pemutus. 

“Sekurang-kurangnya kami dapat merangka sesuatu yang akan me­legakan hati semua, namun ini cuma pandangan peribadi saya. 

“Kalau perkara ini (isu kontrak jurulatih) dapat diselesaikan segera tanpa perlu menunggu sehingga Morten tiba untuk melapor diri pada Mac depan, ia adalah lebih baik.

“Kalau ia sudah boleh diselesaikan sekarang, bermakna dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini kita sudah boleh me­mulakan proses pemulihan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kedudukan jurulatih kebangsaan kini hangat diperkatakan selepas kontrak mereka yang tamat pada hujung bulan lalu belum diperbaharui.

Kesemua jurulatih itu hanya diberi lanjutan kontrak sehingga Mac kerana BAM mahu menunggu kehadiran Frost yang bakal menentukan barisan kejurulatihan. 

Antara yang tamat kontrak adalah jurulatih perseora­ngan lelaki, Rashid Sidek dan Tey Seu Bock, Pang Cheh Chang (beregu lelaki), Wong Tat Meng (perseorangan wanita), Rosman Razak (beregu wanita) dan Jeremy Gan (beregu campuran).

Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang me­ngadakan pertemuan dengan jurulatih pada 5 Januari lalu memberitahu bahawa Frost diberi kebebasan untuk menentukan struktur kejurulatihan yang baharu.

Ketika ditanya mengapa BAM tidak melantik Frost lebih awal daripada Mac ini, Norza berkata bekas Pengarah Kejurulatihan kebangsaan yang pernah berkhidmat di Malaysia pada 1997 hingga 2000 itu sudah terikat dengan majikan lamanya.

“Lagi pun, kami memberi ruang kepadanya untuk menyelesaikan hal-hal tertentu sebelum dia boleh menggalas tugas sepenuhnya sebagai Pengarah Teknikal BAM nanti,” katanya lagi.



SUFIAN HADI MOHD. SOJAK - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment