Thursday, January 29, 2015

‘Saya cuma mahu kerja’



Kuala Lumpur: “Saya tidak gila jawatan, tapi gila untuk memberikan perkhidmatan”.
Itu reaksi balas Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad (gambar) berhubung jawatan nombor satu badan induk berbasikal negara yang bakal dikosongkan Datuk Abu Samah Wahab.

Naim yang menjadi individu nombor dua kepada Abu Samah untuk tempoh lebih 20 tahun kini dilihat calon paling sesuai meneruskan kesinambungan dalam melonjakkan sukan berbasikal negara yang sudah berada di landasan tepat.

“Saya sudah lama berada dalam persatuan, tidak gilakan jawatan namun gila untuk memberikan khidmat terbaik. Tapi segala-galanya terpulang kepada ahli gabungan. Jika saya mahu, tapi mereka sebaliknya, ia tidak akan berlaku juga. Begitu juga sebaliknya.

“Paling penting adalah kemajuan sukan berbasikal. Jika menjadi ahli biasa sekalipun, kita masih boleh memberikan sumbangan kerana ia tidak sesekali bergantung kepada jawatan dipegang,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Menerusi laporan Arena Metro pada Selasa lalu, Abu Samah, 73, menyuarakan hasratnya untuk berundur pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PKBM yang akan datang dengan alasan ingin berehat dan sudah memegang jawatan berkenaan sejak 1990.

“Saya sendiri sudah tua. Jika ada calon lain yang dirasakan layak dan lebih muda berusia bawah 50 tahun, saya ingat kita boleh sepakat memberikan sokongan kepada calon berkenaan.
“Kita perlukan darah mudah dan sebagai orang lama, saya tetap memberikan sokongan penuh kerana sayangkan sukan basikal ini.

“Kuasa pemilihan terletak kepada perwakilan untuk menentukannya. Saya tidak mahu ada pertandingan yang boleh mewujudkan perpecahan. Kalau boleh kita berunding siapa patut menerajui PKBM dan memberikan sokongan,” katanya yang kini berusia 61 tahun.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berpendapat Naim calon paling layak menggantikan Abu Samah berdasarkan sumbangan dan pencapaiannya selama ini terutamanya dalam pembangunan berbasikal trek.

Malah Naim tidak terkecuali terbabit dalam perlumbaan lebuh raya apabila pernah mengelolakan perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) dan Jelajah Malaysia.

Naim mula menjawat jawatan Penolong Setiausaha Agung PKBM pada lewat 80-an sebelum mengisi kerusi berkenaan selepas Shaharuddin Jaafar meninggalkan persatuan berkenaan.

Khidmat Naim terus ditagih apabila menjadi Naib Presiden PKBM sebelum mengisi kerusi Timbalan Presiden sehingga sekarang.




azlanmz@hmetro.my

No comments:

Post a Comment