Tuesday, January 13, 2015

Pusat Akuatik Nasional Perlu Dibaik Pulih

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Keadaan infrastruktur yang tidak memuaskan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil dikatakan menjejaskan latihan para perenang negara.

Ini diakui ketua jurulatih Paul Birmingham yang menyebut sesetengah lampu mengalami kerosakan dan cahayanya tidak cukup terang yang mengganggu perenang.

"Ini menyukarkan perenang yang melakukan latihan di awal pagi sekitar 5 pagi. Lebih mengecewakan, keadaan ini berlarutan selama lima tahun dan bertambah teruk sejak tiga minggu lalu," katanya.

Beliau berkata pusat itu juga tidak dilengkapi kemudahan untuk mandi dan loker yang memuaskan.

"Saya tidak mahu membesar-besarkan perkara ini dan berharap pihak berkenaan dapat membetulkan keadaan. Saya mendengar Kementerian Belia dan Sukan akan membaik pulih pusat ini sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur. Diharap akan berlaku lebih banyak perubahan dalam sukan ini," katanya.

Birmingham berkata pusat tersebut yang berusia lebih 10 tahun perlu diperbaiki kerana ia sering digunakan untuk kejohanan tempatan dan antarabangsa.

Penerjun kebangsaan Pandelela Rinong sebelum ini pernah menegur bahawa pusat itu perlukan penambahbaikan kerana sering digunakan untuk latihan oleh para atlet akuatik.

Walaupun kerja-kerja baik pulih dilakukan tetapi ia tidak kekal lama.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment