Wednesday, January 14, 2015

‘PSM mudah lupa’



Kuala Lumpur: “Mungkin Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) lupa, permohonan kami ditolak begitu saja”.

Itu reaksi Presiden Masyarakat Bola Rotan (MBR) Mohsen Amdan susulan pelawaan Timbalan Presiden PSM Akramuddin Abd Aziz agar badan bukan kerajaan (NGO) memohon kepada badan induk berkenaan bagi menganjurkan sebarang kejohanan.

Akramuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan PSM pada Sabtu lalu dilapor memberi amaran keras bahawa kebenaran atau persetujuan bertulis perlu dipohon NGO atau badan korporat yang mahu menganjurkan kejohanan sepak takraw.

Beliau dilaporkan berkata, sekiranya kejohanan berkenaan adalah di peringkat kebangsaan, permohonan perlu diajukan kepada PSM manakala jika peringkat negeri, perlu dimaklumkan kepada persatuan negeri terbabit dengan alasan enggan pengadil yang tidak berkelayakan atau berpengetahuan terbabit.

“Kami pernah menghantar surat permohonan rasmi untuk beberapa kejohanan yang kami anjurkan, bertujuan memohon bantuan dalam aspek pengadil namun PSM menolaknya mentah-mentah.
“Malah pengadil berdepan tindakan disenarai hitam sekiranya terbabit dengan sebarang kejohanan anjuran MBR,” kata Mohsen.

MBR adalah antara segelintir NGO yang bergiat aktif menganjurkan kejohanan dalam negara membabitkan pelbagai peringkat seperti badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan sebagainya sejak 2010.

“Berapa banyak persatuan negeri dan daerah di bawah naungan PSM yang masih ‘hidup’? Oleh kerana mereka tidak aktif, maka NGO dan orang persendirian seperti kami wujud untuk mengadakan kejohanan.

“Ia disebabkan pembangunan akar umbi yang sudah mati, namun PSM cuba menyekat dengan melakukan peraturan seperti ini. Ini tindakan yang tidak wajar,” katanya.




Oleh Azlan Muhammad Zain

azlanmz@hmetro.com.my
 

No comments:

Post a Comment