Tuesday, January 27, 2015

PPBN Tidak Mahu Jurulatih 'Old School' - Khairy



SERI KEMBANGAN, 26 Jan (Bernama) -- Tiada tempat untuk jurulatih yang tidak mahu berubah serta mengikuti garis panduan sistem kejurulatihan seperti yang diperkenalkan dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata jurulatih era baru memerlukan sistem lebih teratur dan maklumat lebih saintifik untuk mengenal pasti kelebihan atau kelemahan pasukan yang dibimbing mereka.

"Jurulatih pada masa kini mesti berubah. Tugas mereka bukan sekadar atas padang. Memang jurulatih sekarang banyak tanggungjawab, perlu sediakan kertas kerja dan laporan, tetapi kalau untuk jurulatih 'old school', ini sesuatu yang mereka tidak suka.

"Sukan bola sepak sudah masuk era ke-21, ia lebih santifik daripada dahulu. Jurulatih kini bukan hanya turun padang, jerit dekat budak-budak (pemain) sahaja. Mereka perlu berubah, jika tidak memang tiada tempat untuk mereka dalam PPBN," katanya pada ucaptama Seminar Penyelarasan PPBN 2015 di sini hari ini.

Menurut Khairy, jurulatih perlu keluar dari zon selesa dengan bersedia untuk menjalinkan kerjasama antara satu sama lain, berkongsi pengalaman, terbuka menerima pembaharuan serta lebih berinteraksi dengan pelajar dan ibu bapa.

Pada sidang media kemudian, Khairy mengakui cabaran utama dalam pelaksanaan PPBN adalah mencari jurulatih yang memahami falsafah baharu dalam sukan bola sepak.

Katanya memang terdapat jurulatih yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu yang cuba diketengahkan.

Justeru, beliau meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menambah bilangan kursus serta mempercepat pentauliahan jurulatih khusus di peringkat A dan B ke arah melahirkan lebih ramai jurulatih muda yang faham pembaharuan yang hendak dibawa.

Beliau turut mengulas laporan media berkaitan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang yang dikatakan tidak diurus dengan baik.

Laporan yang disifatkan beliau sebagai tidak tepat itu turut menyentuh beberapa jurulatih yang menarik diri serta pelaksanaan PPBN yang didakwa gagal dilakukan.

Sambil menjelaskan akademi itu sebenarnya masih belum beroperasi, menteri itu menegaskan bahawa program PPBN berjalan lancar.

Berhubung masalah padang, Khairy berkata ia susulan masalah dengan kontraktor dan usaha dibuat untuk mengatasinya.

Menurutnya, masalah yang dikaitkan dengan jurulatih tidak bermakna inisiatif PPBN bermasalah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment