Tuesday, January 06, 2015

Persatuan sukan perlu lebih proaktif - Harian Metro



Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) akan memberikan peranan lebih besar kepada persatuan sukan kebangsaan dalam merencanakan program latihan atlet.

Itu antara pendekatan baru dilaksana Ketua Pengarahnya Ahmad Shapawi Ismail yang dilantik mengetuai badan berkenaan penghujung tahun lalu menggantikan Datuk Seri Zolkples Embong.
“Persatuan sukan kebangsaan perlu memainkan peranan lebih besar dalam menguruskan program latihan atlet kendalian mereka. Berdasarkan keadaan ekonomi ketika ini, penyusunan program latihan perlulah bijak untuk mendapatkan keputusan maksimum.

“Secara tidak langsung, kami mengiktiraf peranan persatuan sukan kebangsaan dan mereka perlu mengambil tanggungjawab ini, bukan saja berkaitan dengan prestasi atlet tetapi berkait dengan isu doping atau sebagainya,” kata Ahmad Shapawi.

Jelas Ahmad Shapawi, beliau masih belum sempat mengadakan perbincangan dengan mana-mana persatuan sukan kebangsaan selepas baru dilantik selain sibuk terbabit dalam program bantuan banjir membabitkan atlet negara ketika ini.

Namun beliau akan segera bertemu semua pihak terbabit bagi membincangkan perancangan dan hala tuju.

Pada masa sama Shapawi berkata, perkara yang menjadi keutamaannya adalah perancangan jangka panjang tanpa mengabaikan temasya sukan besar (seperti Sukan SEA 2015 dan Olimpik 2016) bagi setiap jenis sukan dengan menyelaraskan antara pihak yang berkepentingan dan rakan strategik MSN seperti Majlis Olimpik Malaysia, persatuan sukan kebangsaan dan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi meletakkan atlet kita sekurang-kurangnya pada tahap Asia.

“Fokus kami adalah untuk membawa atlet berpotensi yang dikenal pasti Institut Sukan Negara (ISN) dan sekolah sukan untuk diselaraskan pendekatan bagi membolehkannya menjadi atlet kebangsaan,” jelasnya.



Oleh Azlan Muhammad Zain

No comments:

Post a Comment