Thursday, January 08, 2015

Perbicaraan Chong Wei ditunda lagi - Harian Metro


Kuala Lumpur: Penantian satu penyeksaan, mungkin itu yang sedang dihadapi ikon badminton negara Datuk Lee Chong Wei (gambar) apabila tarikh perbicaraan kes doping sekali lagi ditunda.
 
Ini kali kedua tarikh pendengaran doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF) diubah dan dijangka berlangsung awal bulan depan.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohamad Norza Zakaria, penangguhan diminta itu mendapat lampu hijau dari BWF.

“Sekarang ini sudah di peringkat 80 hingga 90 peratus dalam mengumpul bukti, penangguhan diminta bagi membolehkan kami mengukuhkan lagi jawapan untuk kes berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, perbicaraan itu dikatakan akan berlangsung awal bulan ini di Amsterdam, namun terdapat khabar angin mengatakan ia diubah kepada 12 Januari (Isnin depan).

Bagaimanapun, tarikh itu dipinda kepada minggu ketiga bulan ini dan ia sekali lagi ditukar pada awal Februari, dalam masa yang sama lokasinya juga berubah.

“Permohonan tarikh baru kepada BWF sudah diluluskan dan mungkin ia akan dilangsungkan awal Februari,” katanya.

Chong Wei yang didapati positif menggunakan bahan terlarang dexamethasone di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen Ogos tahun lalu digantung sementara oleh BWF sehingga perbicaraannya dijalankan.

Sebaik perbicaraan dijalankan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) itu akan menanti hukuman sebenar yang mungkin sedikit mengganggu persiapannya untuk aksi 2015.


No comments:

Post a Comment