Wednesday, January 07, 2015

Nicol Tekad Kekal Pemain Nombor Satu Dunia Buat Kali Ke-10 Berturut-turut - Bernama


KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Ratu skuasy negara Datuk Nicol David bertekad untuk mengekalkan kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia tahun ini selepas menampilkan pencapaian hebat tahun lepas.

Nicol berkata empat kejohanan utama menjadi tumpuannya tahun ini iaitu Kejohanan Juara-Juara (TOC), Terbuka British, Terbuka Amerika Syarikat dan Kejohanan Dunia di samping beberapa kejohanan lain.

"Saya tidak percaya sebagai pemain nombor satu dunia selama sembilan tahun. Pencapaian menarik dan menyeronokkan. Terdapat saat yang sukar dan saya belajar menjadi dewasa melalui sukan skuasy dan berharap lebih banyak kejayaan dicapai tahun ini.

"Kejohanan utama seperti TOC, Terbuka British, Terbuka Amerika Syarikat dan Kejohanan Dunia menjadi matlamat saya. Namun saya masih perlu melakukan terbaik dalam kejohanan lain," katanya kepada pemberita selepas menerima Anugerah 10 Pemimpin dan Personaliti Paling Berpengaruh daripada UCSI University di sini Selasa.

Mengimbas kejayaannya pada 2014, Nicol berkata ia antara pencapaian terbaik sepanjang kariernya terutama apabila meraih pingat emas pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia serta merangkul kejuaraan dunia selepas gagal berbuat demikian pada 2013.

"Ia bukan gelaran dunia yang mudah dan paling sukar untuk memenanginya tetapi ia suatu perasaan yang hebat sepanjang 2014," katanya.

Pencapaian cemerlang pemain berusia 31 tahun dari Pulau Pinang itu memberi sedikit keceriaan kepada suasana suram yang menyelubungi sukan negara selepas gagal mencapai sasaran dalam dua temasya utama - Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun lepas.

Nicol mengekalkan ranking sebagai pemain nombor satu dunia selama sembilan tahun berturut-turut selepas merampas kembali gelaran dunia pada Disember lepas di Mesir.

Anugerah USCI itu sebahagian daripada syarahan kepimpinan yang bertujuan menyediakan platform kepada pelajar institusi pengajian tinggi seluruh negara, bukan sahaja mempelajari amalan kepimpinan daripada pemimpin tetapi juga kesan positif pencapaian mereka terhadap masyarakat.

Nicol meluangkan masa selama sejam bersama penerima biasiswa daripada Kelab UCSI Scholars untuk berkongsi pengalamannya dalam sukan skuasy.

Secara keseluruhan, sejumlah 31 calon telah dicalonkan untuk anugerah berkenaan oleh pelajar Malaysia yang berumur dari 16 hingga 25 tahun daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan.

Pemenang lain anugerah tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Bhd Aireen Omar, Naib Presiden Antarabangsa Asia Pasifik Groupon Joel Neoh, CEO Chatime Malaysia Bryan Loo, CEO Phison Electronics Corp Datuk Pua Khein Seng, penyanyi dan penulis lirik Shila Amzah, pelakon dan penyanyi pop Lee Sin Jie serta penyanyi pop Fish Leong.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment