Wednesday, January 07, 2015

Nicol David yakin 
Chong Wei di pihak bena - Utusan




KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David percaya kebenaran akan berpihak kepada atlet senegerinya dari Pulau Pinang, Datuk Lee Chong Wei yang menunggu kes doping dihadapinya dibicarakan bulan ini.

Menurut pemain No. 1 dunia itu, Chong Wei adalah atlet yang ber­usaha gigih untuk mencapai kecemerlangan dalam kariernya, dan dia yakin Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melakukan apa sahaja untuk membantu jaguh badminton tersebut dalam mengha­dapi kes berkenaan.
Tambah Nicol, sebagai seorang sahabat, harapannya adalah untuk melihat semuanya kembali pulih dan Chong Wei dapat terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa selepas kesnya selesai. 

“Saya tidak dapat banyak maklumat berhubung isu doping tersebut, namun sebagai seorang sahabat saya kenal dirinya dan dia adalah atlet yang amat bekerja keras semasa latihan.
“Harapan saya buat Chong Wei semoga semuanya kembali baik dan dia dapat menghadapi semua ini dengan tenang,” katanya kepada pemberita selepas sesi beramah mesra bersama pelajar Universiti UCSI, di sini semalam.

Ketika ini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) masih belum menetapkan tarikh perbicaraan kes doping Chong Wei, manakala peguam Mike Morgan sedang giat mengumpul bahan bukti serta maklumat tambahan bagi membantu pemain berkenaan.

Chong Wei digantung sementara setelah keputusan sampel B ujian doping yang dilakukan di makmal Hospital Universiti Oslo, Norway pada 5 November lepas disahkan positif mengandungi dadah dexamethasone.

Pemain tersebut didapati positif dalam ujian doping pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lepas.

Akibat penggantungan sementara itu, kedudukan Chong Wei dalam ranking dunia kini jatuh ke No. 2 kerana tidak menyertai beberapa kejohanan.


No comments:

Post a Comment