Wednesday, January 21, 2015

M'sia Raih Emas Pertama Kejohanan Tenpin Boling Asia


KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Skuad boling negara akhirnya berjaya meraih pingat emas pertama pada Kejohanan Tenpin Boling Asia ke-23 yang berlangsung di Major Cineplex Ratchayothin, Bangkok, hari ini.

Menurut laman web rasmi Persekutuan Boling Asia (ABF) www.abf-online.org, pingat emas pertama itu diperoleh menerusi gandingan Sin Li Jane dan Syaidatul Afifah yang mengumpul 2,773 jatuhan pin.

Mereka berjaya mengalahkan dua gandingan dari Korea Selatan, Jung Da Wun/Lee Young Seung (2,633 pin) serta Jeon Eun Hee/Son Yun Hee (2,583 pin).

Kejayaan itu membolehkan Li Jane mendahului peserta wanita lain dalam kategori All-event dengan mengumpul 2,866 jatuhan pin selepas dua acara (perseorangan dan beregu).

Sementara itu, dua lagi gandingan negara, Hee Kar Yen/Dayang Khairuniza (2,475 pin) dan Natasha Roslan/Radin Nur Najwa (2,338 pin), masing-masing menamatkan saingan di tempat ketujuh dan ke-14.

Kesemua pemain akan meneruskan saingan dalam acara trio untuk kedua-dua kategori, lelaki dan wanita esok.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment