Tuesday, January 13, 2015

MOM Tidak Boleh Anjur MIM Kerana Langgar Peraturan IAAF - Karim

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak boleh menganjurkan apa sahaja kejohanan sukan termasuk Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) 2015 yang dicadang diadakan pada 23 dan 24 Mei ini di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berkata, selaku badan pentadbir sukan negara, MOM seharusnya berperanan membantu persatuan sukan kebangsaan menyokong mana-mana acara sukan dan bukan menjadi penganjur.

Beliau berkata berdasarkan peraturan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) dengan jelas menyatakan mana-mana kejohanan olahraga perlu mendapat lampu hijau daripada badan induk sesebuah sukan terutamanya daripada KOM sebelum boleh diadakan.

"Mana ada peraturan yang membolehkan MOM melaksanakan acara sukan seperti MIM kerana apa sahaja yang berkaitan dengan sukan olahraga (di negara ini) adalah tertakluk di bawah (bidang kuasa) KOM.

"Sekiranya mereka (MOM) berhasrat meneruskan acara maraton tersebut, kita menganggap ia sebagai tidak sah," kata Karim kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja antara KOM dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang berlangsung hampir empat jam di pejabat MSN, Bukit Jalil di sini, Jumaat.

Naib Presiden MOM, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada Khamis dilaporkan sebagai berkata bahawa mereka tetap akan mengadakan acara maraton berkenaan walaupun tidak mendapat sokongan KOM.

Pada masa sama, Karim turut menolak kenyataan Danyal yang mendakwa mereka telah mengadakan perjumpaan dengan pegawai KOM bagi mendapatkan sokongan untuk menganjurkan acara maraton itu.

Ditanya sama ada mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap MOM bagi menghalang acara itu, Karim berkata:"Saya perlu membincangkannya dengan anggota majlis saya terlebih dahulu," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment