Tuesday, January 13, 2015

MOM Tetap Mahu Selesai Sendiri Isu Maraton MIM 2015

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengulangi pendiriannya bahawa tiada keperluan bertemu dengan Presiden Kesatuan Olahrahga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim bagi membincangkan isu Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) 2015.

Danyal sebaliknya menjelaskan bahawa isu itu akan dibincangkan dengan lebih mendalam pada mesyuarat Anggota Lembaga MOM pada Selasa.

Beliau turut menyambut baik saranan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin sebelum ini yang mahu kedua-dua pihak menyelesaikan perkara itu dengan baik.

"Mengikut perlembagaan MOM, antara bidang tugas sebagaimana yang termaktub dalam (perlembagaan) MOM artikel 5.17 ialah untuk memperoleh dan memperkembang dana bagi program pembangunan dan pengurusan pelbagai sukan anggota...jadi ini sudah jelas," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Danyal mengulas kenyataan Karim yang bertegas bahawa KOM tidak akan mengiktiraf acara itu kerana mendakwa ia bertentangan dengan peraturan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) yang mensyaratkan mana-mana kejohanan olahraga perlu mendapat sokongan badan induk olahraga sesebuah negara.

MIM 2015 dijangka berlangsung pada 23 dan 24 Mei ini bermula di Stadium Batu Kawan sebelum menyeberang Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan kembali ke Stadium Batu Kawan.

Acara itu yang menawarkan hadiah keseluruhan RM350,000 dianjurkan buat julung kalinya oleh MOM bermatlamat mengutip dana bagi membantu persatuan sukan kebangsaan yang menghadapi kekangan kewangan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment