Friday, January 09, 2015

MOM Tetap Anjur Maraton Antarabangsa Walaupun Tanpa Kelulusan KOM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan meneruskan rancangannya menganjurkan Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) 2015 pada 23 dan 24 Mei di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, walaupun tidak mendapat pengiktirafan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

KOM dikatakan meminta RM3 juta daripada MOM untuk dibayar kepada Persekutuan Olahraga Antarabangsa sebagai kos untuk menganjurkan acara bersempena sambutan ulang tahun ke-60 MOM itu.

Naib Presiden MOM Datuk Danyal Balagopal Abdullah berkata mereka tidak memerlukan persetujuan KOM untuk menganjurkan acara itu kerana telah mendapat kelulusan Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Olahraga Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Lebih baiklah wang itu diberi kepada PSK. Tidak perlulah kami pergi berjumpa KOM untuk memberi penjelasan tentang isu ini. Saya telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng), yang juga telah memberi kelulusan beliau," katanya kepada pemberita selepas melancarkan acara itu di sini hari ini.

Danyal juga mempersoalkan motif KOM tidak mengiktiraf acara itu yang bertujuan mengumpul dana bagi semua Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) di negara ini.

"Kami tak mahu main politik kerana tujuan kami adalah untuk mengumpul dana bagi membantu PSK yang amat memerlukan wang untuk melaksanakan program masing-masing.

"Banyak kerja yang saya lakukan bersama PSK ketika bengkel diadakan dan mereka memberi maklum balas dengan amat jujur, termasuk mengenai pelan strategik seperti yang diminta Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin)...Tak ada pelan strategik, maka tak akan ada wang (yang akan dijana)," katanya.

Danyal berkata lima kategori akan dipertandingkan pada MIM 2015 iaitu maraton penuh (42km untuk lelaki dan wanita); separuh maraton (21km); 10km (junior, lelaki dan wanita); fun run (5km) dan Kategori Novelty (kerusi roda/orang kelainan upaya - 3km).

"Kami menyasarkan 30,000 peserta, tetapi jumlahnya dijangka mencapai hingga 40,000 memandangkan ia diadakan untuk julung kalinya," kata beliau.

MIM 2015 akan bermula di Stadium Batu Kawan sebelum menyeberang Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan kembali ke Stadium Batu Kawan.

Mereka yang ingin menyertai acara yang menawarkan hadiah RM350,000 ini boleh mendaftar melalui laman sesawang www.ocmmim.com mulai 15 Jan dan tarikh tutup ialah 31 Mac.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment