Wednesday, January 21, 2015

Malaysia Pesta Gol Belasah Singapura 16-1


SINGAPURA, 20 Jan (Bernama) -- Malaysia menamatkan saingan Kumpulan A Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia 2015 dengan berpesta gol apabila membelasah Singapura 16-1 di Stadium Hoki Sengkang, di sini malam ini.

Kejayaan itu meletakkan Malaysia di kedudukan teratas kumpulan berkenaan dengan sembilan mata setelah mencatat tiga kemenangan berturut-turut pada kejohanan tersebut.

Skuad bimbingan Tai Beng Hai itu akan berdepan Mexico, yang menduduki tangga tercorot dalam Kumpulan B, pada suku akhir Khamis ini.

Dalam perlawanan hari ini, Faizal Saari muncul penjaring terbanyak Malaysia apabila menjaringkan enam gol pada minit ke-6, 19, 25, 31, 32 dan 51.

Gol Malaysia lain dijaringkan oleh Muhammad Firhan Ashari (minit ke-13, 25), Muhammad Razie Abdul Rahim (minit ke-24, 52), Muhammad Haziq Shamsul (minit ke-37, 53), Muhammad Marhan Mohd Jalil (minit ke-42) dan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin (minit ke-44).

Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil turut mencatat nama dalam senarai penjaring apabila melengkapkan kemenangan besar Malaysia dengan menyumbat masuk dua gol pada minit ke-58 dan 60.

Gol saguhati Singapura dijaringkan oleh Ian Vanderput pada minit ke-32.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment