Tuesday, January 20, 2015

Malaysia Pasukan Perlu Ditewaskan Pada Liga Hoki Dunia - Jurulatih Singapura


SINGAPURA, 19 Jan (Bernama) -- Jurulatih Singapura Solomon Cassojee menyifatkan Malaysia sebuah pasukan yang mempunyai nama besar dan berpengalaman dalam saingan Pusingan Kedua Kejohanan Liga Hoki Dunia 2015 di sini.

Cassojee berkata bukan mudah menewaskan Malaysia jika anak buahnya tidak memperbaiki kemahiran mereka yang dilihat masih ketinggalan berbanding lawannya itu.

"Kami tidak mempunyai kemahiran (setanding Malaysia). Jika hendak menewaskan Malaysia, kami perlu lebih bagus dari segi kemahiran. Berdepan pasukan yang memiliki nama besar, kemahiran kawalan bola juga perlu lebih bagus daripada perlawanan pada Isnin.

"Malaysia berbeza dengan Singapura, mereka berlatih sekurang-kurangnya lima jam sehari...kami tidak seperti mereka. Mereka lebih bagus," katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Ukraine di Stadium Hoki Sengkang di sini pada Isnin.

Singapura kalah 1-2 kepada Ukraine dan akan berdepan Malaysia pada perlawanan seterusnya Kumpulan A, Selasa.

Gol Singapura dijaringkan oleh Muhammad Haseef Salim pada minit ke-47, manakala dua gol Ukraine menerusi Oleksandr Diachenko (minit ke-44) dan Viacheslav Paziuk (minit ke-56).

Ketua pasukan Singapura, Enrico Marican berkata walaupun tewas dua kali, cabaran pasukan tersebut pada kejohanan berkenaan belum berakhir kerana mereka masih mempunyai masa menampilkan kemampuan sebenar.

"Kami perlu bekerja keras. Apa yang berlaku, sudah berlaku...sekarang, fokus kami kepada cabaran seterusnya, berdepan Malaysia," katanya.

Daripada Karina Imran -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment