Monday, January 26, 2015

Malaysia Muncul Juara, Mara Separuh Akhir Liga Hoki Dunia 2015



SINGAPURA, 25 Jan (Bernama) - Malaysia muncul juara Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) 2015 selepas membelasah Poland 8-0 pada perlawanan akhir, sekali gus mara ke Separuh Akhir WHL yang dijadual pada Jun depan.

Ketua pasukan Muhammad Razie Abdul Rahim muncul wira Malaysia pada perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Sengkang, Singapura, Ahad, apabila dia menjaringkan 'hat-trick'.

Malaysia tidak menunggu lama berada di hadapan menerusi jaringan Faizal Saari pada minit ketiga sebelum Muhammad Razie menggandakan jaringan, kedua-duanya menerusi pukulan sudut penalti, selang empat minit kemudian.

Muhammad Razie terus bertindak cemerlang apabila menjaringkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-21 menerusi pukulan sudut penalti, sebelum Faizal Saari melebarkan jaringan di minit ke-33.

Sorakan penyokong negara yang membanjiri stadium ternyata menaikkan semangat pemain Malaysia menambahkan jaringan pada minit ke-42 menerusi Nabil Fiqri Mohd Noor dan Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil pada minit ke-48.

Pemain muda, Muhammad Haziq Samsul juga melakar nama dalam senarai penjaring apabila menyumbat masuk gol ketujuh Malaysia pada minit ke-54.

Muhammad Razie melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia dengan menjaringkan gol ketiga peribadi yang juga gol kelapan pasukan negara, enam minit kemudian.

Jurulatih negara Tai Beng Hai berkata beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang menampilkan corak permainan berbeza hari Ahad, berbanding ketika berdepan Jepun pada separuh akhir, Sabtu.

"Kita melakukan pembaharuan dalam teknik permainan hari Ahad. Mereka bermain dengan begitu bagus dan memberi komitmen yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Muhammad Razie berkata tidak menjangka pasukan negara berjaya mencatat kemenangan besar ke atas Poland yang sebelum ini mempamerkan pretasi baik pada kejohanan tersebut.

"Mungkin disebabkan kita memberi fokus 100 peratus selepas mencatat kemenangan tipis ke atas Jepun semalam. Pada perlawanan hari ini, kita bermain lebih berhati-hati," katanya.

Dalam pada itu, biarpun tewas, Poland juga mengiringi Malaysia ke saingan Separuh Akhir WHL 2015 bersama-sama Jepun yang menduduki tempat ketiga selepas menumpaskan Oman 4-0.

Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) belum menetapkan venue saingan separuh akhir WHL 2015 sama ada di Belgium atau Argentina.

Faizal Saari yang menjaringkan keseluruhan 12 gol menerima anugerah penjaring terbanyak dan pemain terbaik kejohanan berkenaan.


--BERNAMA

No comments:

Post a Comment