Wednesday, January 07, 2015

LTdL 2015: Pelumba negara tertanya-tanya - KOSMO




“KAMI langsung tak ada perasaan ghairah atau teruja untuk beraksi dalam Jelajah Berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kami dah tak ada apa-apa perasaan. Tak ada marah, geram, teruja atau kecewa. Kalau ada jemputan, kami akan bertanding. Kalau tidak, tak ada apa-apalah.” 

Demikian luahan salah seorang pelumba negara yang enggan namanya didedahkan mengenai persediaan mereka menghadapi LTdL 2015 yang sehingga kini tiada sebarang berita tentang perkembangannya.

Jelasnya lagi, sehingga semalam, dia serta rakan sepasukan yang lain masih belum menerima sebarang surat atau perkhabaran mengenai kedudukan mereka dalam saingan tersebut yang hanya tinggal kurang sebulan seperti yang dijadualkan iaitu 8 hingga 15 Februari 2015. 

“Kami tunggu juga tapi macam itulah. Tak ada apa-apa. Dulu kami sangat teruja, tetapi sekarang ini, berita mengenai LTdL juga pun tak kedengaran. Tetapi kami semua tetap menjalani latihan seperti biasa. Ini adalah untuk memastikan tahap kecergasan kami berada di tahap terbaik,” katanya. 

Gelagat tenggelam-timbul penganjur dalam memberi maklumat juga menyebabkan para pelumba negara hilang rasa ghairah untuk menyertai kejohanan berstatus Hors.2 itu berbanding penyertaan mereka pada tahun-tahun sebelumnya. 

“Kami sentiasa bersedia untuk berlumba. Tapi alangkah baiknya jika diberitahu awal. Sekurang-kurangnya, kami dapat perbaiki kelemahan dengan cara terbaik,” tambahnya.

Lebih pening, sehingga kini, masih tiada khabar berita mengenai laluan yang akan digunakan memandangkan beberapa laluan yang sering digunakan dalam saingan LTdL di sebelah pantai timur dan selatan, dikhabarkan masih rosak akibat banjir besar yang melanda negara sejak Disember lalu.
Bukan itu sahaja, keinginan untuk melihat senarai pasukan bertaraf profesional yang menjadi tunjang utama dalam saingan melibatkan kos bernilai RM10 juta itu juga masih tinggal harapan disebabkan pihak penganjur memilih untuk mendiamkan diri. 

Terkini, hanya Caleb Ewan dari pasukan Orica-GreenEdge mengesahkan penyertaan dalam perlumbaan yang memasuki edisi ke-20 itu nanti.



No comments:

Post a Comment