Thursday, January 08, 2015

Lawan tauke! - Harian Metro



Kuala Lumpur: “Umpama rampas kuasa.” Demikian perumpamaan diberikan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim (gambar) kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berikutan tindakan badan induk itu menganjurkan Maraton Antarabangsa Malaysia pada 22 Mac ini tanpa mendapat pengiktirafan KOM.

Melabelkan kejohanan itu tidak sah, Karim menegaskan MOM sepatutnya tidak boleh sama sekali mengetepikan KOM sekiranya mahu menganjurkan satu-satu kejohanan berbentuk maraton kerana hanya KOM saja persatuan di Malaysia berhak mengiktiraf larian seperti itu.

“Selaku badan sukan utama di negara ini, MOM tidak sepatutnya bertindak seperti ini.
“Penganjuran acara maraton seperti ini sememangnya memberi keuntungan dan hak penganjurannya sepatutnya menjadi milik KOM.

“Inilah antara kaedah KOM untuk mencari dana sekali gus mengurangkan beban kerajaan. Tetapi bila berlaku kes seperti ini, bermakna mana-mana pihak boleh saja menganjurkannya tanpa mendapat pengiktirafan KOM,” katanya.

Karim berkata, apa saja kemungkinan boleh berlaku daripada penganjuran seperti itu dan pada akhirnya nanti, segala kesalahan akan ditujukan kepada KOM.

“Kalau ada masalah umpamanya, penganjur tidak membayar wang kemenangan dan sebagainya, nama KOM juga yang busuk,” katanya.

Jelas Karim, sekiranya MOM mahu juga meneruskan acara itu tanpa mendapat pengiktirafan KOM, pihaknya akan mendapatkan nasihat Pesuruhjaya Sukan.

Acara itu akan berlangsung di Jambatan Sultan Abul Halim Muadzam Shah dengan menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM600,000 seperti yang dimaklumkan menerusi laman web rasmi MOM.


No comments:

Post a Comment