Wednesday, January 28, 2015

KOM Hantar Kertas Cadangan Kepada MOM Mengenai Penganjuran MIM 2015

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan menghantar satu kertas cadangan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengenai Marathon Antarabangsa Malaysia (MIM) 2015 yang penganjurannya masih belum menemui jalan penyelesaian sehingga kini.

Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Ahmad Shapawi Ismail berkata beliau telah dimaklumkan oleh Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim bahawa mereka akan berbuat demikian sebagai cara penyelesaian selepas MOM dilaporkan tetap berkeras untuk menggunakan nama asal.

"Ia memandangkan KOM merupakan anggota gabungan MOM...Saya dimaklumkan mereka (KOM) akan menghantar kertas cadangan itu dalam tempoh terdekat dan saya akan biarkan perkara ini diselesaikan oleh mereka.

"Terpulang kepada MOM sama ada mahu melihat cadangan berkenaan atau tidak," kata Ahmad Shapawi kepada pemberita selepas menhadiri mesyuarat bersama KOM di sini hari ini.

Karim sebelum ini bertegas bahawa KOM tidak akan mengiktiraf acara itu kerana mendakwa ia bertentangan dengan peraturan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) yang mensyaratkan mana-mana kejohanan olahraga perlu mendapat sokongan badan induk olahraga sesebuah negara.

Acara itu yang dijadual berlangsung 23 dan 24 Mei ini di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang dengan hadiah keseluruhan RM350,000 dianjurkan buat julung kalinya oleh MOM dengan matlamat mengutip dana bagi membantu persatuan sukan kebangsaan yang menghadapi kekangan kewangan.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan MOM pada minggu lepas membuat pusingan U dengan memutuskan untuk mengekalkan nama asal kerana mendakwa ia sesuai sebagai strategi pemasaran penaja larian tersebut.

Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar pada 13 Jan lepas dilaporkan bercadang menukar nama MIM kepada Larian Jambatan Tuanku Abdul Halim setelah mendapat bantahan awal daripada KOM.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment