Thursday, January 15, 2015

Kim Swee Kunci Mulut Berhubung Masa Depan Bersama FAM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Datuk Ong Kim Swee mengambil sikap 'kunci mulut' berhubung masa depan beliau bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas timbul beberapa laporan di media sosial mendakwa beliau bakal diberikan peranan khusus dalam skuad Liga Perdana Sabah, musim ini.

Bekas pengendali skuad Harimau Muda A itu, yang kini diberikan peranan selaku pencari bakat skuad B-23 ke Sukan SEA di Singapura, Jun ini, mengambil sikap berdiam diri berhubung isu tersebut kerana menghormati kontraknya bersama FAM yang tamat pada Disember ini.

"Saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan berhubung spekulasi isu itu. Saya perlu menghormati kontrak bersama FAM," katanya ketika dihubungi Bernama, pada Rabu.

Media melaporkan jurulatih berusia 45 tahun itu sedia mempertimbangkan tawaran daripada pasukan lain selepas FAM memutuskan untuk menggabungkan skuad Harimau Muda A dengan Harimau Muda B kendalian Razip Ismail pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia, Disember lepas.

Berikutan daripada penggabungan tersebut, FAM membubarkan pasukan Harimau Muda A dan diganti dengan skuad Harimau Muda yang bakal menggalas cabaran negara pada Sukan SEA 2015 di Singapura nanti.

Penghijrahan Kim Swee ke Sabah turut dihangatkan dengan ketiadaan Pengarah Teknikal Sabah Rhino, George O'Callaghan pada sesi latihan skuad Sabah Rhino sejak beberapa hari lepas.

Beberapa laman sosial penyokong bola sepak Sabah turut mendakwa bahawa Kim Swee hadir pada aksi persahabatan antara pasukan berkenaan dengan Sarawak di Stadium Negeri Sarawak di Petra Jaya, Kuching, minggu lepas .

Antara kejayaan yang pernah diraih Kim Swee sepanjang mengendalikan skuad Harimau Muda A adalah muncul juara Sukan SEA 2011 di Indonesia, juara Newspaper Cup pada 2012 di Vietnam serta Kejohanan Pestabola Merdeka 2013 di Pahang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment