Friday, January 23, 2015

Khairy mahu MIM ditukar



PUTRAJAYA - Kemelut yang berlegar di sekeliling Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) yang dirumitkan apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkira-kira untuk membuat ‘pusingan U’ akhirnya memaksa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin melibatkan diri.

Khairy semalam mahu MOM menukar nama MIM kepada nama lain supaya tidak merumitkan la­gi keadaan dan menamatkan perte­lingkahan antara MOM dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Penegasan itu disampaikannya kepada Naib Presiden MOM, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dalam pertemuan di pejabatnya di sini semalam.

Danyal Balagopal, yang kemudiannya ditemui wartawan, berkata pihaknya akur dengan gesaan Khairy itu dan beliau akan me­ngadakan mesyuarat bersama ahli Jawatankuasa Pemasaran dan Tajaan MOM untuk menentukan nama kejohanan yang lebih bersesuaian.

“Tujuan pertemuan tersebut diadakan untuk mencari jalan penyelesaian berhubung isu ini. Saya sudah mem­beri­tahu kepada Yang Berhormat (Khairy) kenapa kami mahu me­ngekalkan nama kejohanan tersebut.

“Bagaimanapun beliau menyarankan agar kami (MOM) tidak mengekalkannya sebab sekiranya kami buat juga akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya beritahu beliau (Khairy) bahawa kami akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan nama lain bagi maraton itu. Sebab keputusan (sebelum ini) dibuat secara majoriti (dalam me­syu­arat majlis) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohamad Noor Rahim (Timbalan Presiden MOM).

“Buat masa sekarang Tan Sri berada di luar negara jadi kami perlu menunggu beliau pulang dahulu,” kata Danyal. 

Semalam Utusan Malaysia melaporkan Khairy berasa pelik dengan keputusan MOM untuk membuat pusingan U dengan mengekalkan nama kejohanan tersebut, menyebabkan beliau mahu bertemu dengan Danyal bagi membincangkan hal tersebut.

Sementara itu, Danyal menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Presiden MOM Tunku Imran Tuanku Ja’far tidak tahu menahu MOM mahu terus mengekalkan nama kejohanan tersebut.

“Siapa cakap? Saya baru saja bincang dengan beliau pagi tadi (semalam) sebab dia baru balik dari luar negara. Memang beliau dah tahu. Jadi tidak mempunyai apa-apa masalah,” katanya.

Tambah Danyal, beliau tidak mahu mengulas mengenai amaran Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim yang bersedia membawa perkara tersebut kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sekiranya mereka mengekalkan nama kejohanan tersebut.



 FADHILUL 
IZMEL ISHAK  - UTUSAN

No comments:

Post a Comment