Thursday, January 22, 2015

Khairy harap MOM ubah keputusan




Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menasihatkan Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) supaya kembali berpegang dengan keputusan untuk mengubah nama Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) kepada nama lain.

Jelas Khairy, penggunaan nama larian itu sememangnya tidak boleh digunakan MOM kerana perlu mendapat pengiktirafan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Justeru, Khairy mahu mereka menghormati keputusan dikemukakan Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif minggu lalu yang mencadangkan supaya nama maraton itu ditukar.

“Pihak jawatankuasa perlu kembali kepada keputusan asal dibuat Lembaga Eksekutif dengan akur kepada cadangan yang dikemukakan Tunku Imran.

“Saya tidak tahu kenapa mereka mahu mengubah keputusan untuk menggunakan nama asal.
“Semua pihak sedia maklum KOM berhak ke atas apa saja acara yang menggunakan perkataan Maraton Antarabangsa Malaysia atau yang seumpama dengannya,” katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman laluan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 semalam.

Untuk itu, Khairy berharap Naib Presiden MOM Datuk Danyal Balagopal Abdullah serta anggota jawatankuasa yang lain dapat menuruti keputusan Lembaga Eksekutif sekali gus menukar nama larian itu seperti dicadangkan Tunku Imran.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta mencari jalan penyelesaian, Khairy berkata, beliau akan menemui Danyal hari ini. 

“Saya minta Datuk Danyal bertemu dengan saya secara peribadi esok (hari ini) bagi membolehkan saya memberi pandangan kepadanya,” katanya.

Danyal menerusi laporan Arena Metro kelmarin berkata, pihak jawatankuasa bersetuju mengekalkan nama larian itu dan mendakwa sudah memaklumkannya kepada Tunku Imran.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment